Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 7, 2015

JATUH SUNGAI KERANA DISERGAH


Jatuh sungai kerana disergah


Rantau Panjang - Seorang lelaki warga tempatan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Golok, berdekatan Pangkalan Haram Belakang Kubur, di sini, pada jam 10 malam, kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rahmat Kamaruzaman berkata, mangsa, Muhamad Khairul Awang Noh, 27, mangsa bersama seorang rakannya, Hafiz Jalil, 20, dipercayai terjatuh ke sungai berkenaan dari Golok, Thailand.

"Bagaimanapun rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan ketika kejadian tersebut.

"Kita gerakkan seramai 18 anggota penyelamat membabitkan pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rantau Panjang dan pasukan penyelamat di air," katanya.

Beliau memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula pada jam 9 pagi sehingga 6 petang dan tertumpu dalam kawasan lingkungan 1 kilometer bermula dari tempat mangsa terjatuh sehingga Jambatan Muhibah.

Menceritakan kejadian, Hafiz berkata, dia dan Muhamad Khairul terkejut selepas disergah oleh pihak berkuasa Thailand pada ketika itu lalu berlari ke arah tebing Sungai Golok sebelum terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

"Selepas terjatuh ke dalam Sungai Golok, saya sempat berpaut pada perahu. Saya cuba selamatkan Muhamad Khairul dengan menolak perahu berkenaan, namun selepas tiga kali memanggil, dia tidak lagi timbul.

"Saya tak dapat tidur kerana masih terbayang wajah Muhamad Khairul ketika dia minta tolong, sebelum tenggelam dalam Sungai Golok," katanya, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Awang Noh Awang Chik, 61, memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan Muhamad Khairul adalah pada jam 3 petang kelmarin.

Katanya, ketika itu mangsa yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik sedang bersiap-siap untuk keluar.

"Biasanya saya akan tanya kalau nampak dia bersiap-siap nak keluar, tapi entah kenapa petang itu mulut saya jadi berat nak bertanya.

"Sebelum ini pun saya tak pernah risau sebab dia tak pernah keluar sehingga lewat malam. Saya hanya dapat tahu kejadian ini apabila dimaklumkan oleh rakannya pada jam 6 pagi tadi," katanya.

Menurut Awang Noh yang bekerja sebagai buruh, mangsa menjaganya di rumah sementara isterinya, Yati Ghani, 55, bersama enam lagi anak mereka berada di Kuala Lumpur.


0 comments:

share2