Kuala Lumpur - Meski ramai tidak bersetuju pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini tetap menetapkan pemberian BR1M kepada rakyat sebagai salah satu perkara dalam pembentangan Bajet 2016.
Menurutnya, pemberian BR1M diteruskan berdasarkan maklum balas positif yang diterima oleh rakyat.
"Saya tahu benar... Ada pihak yang mengatakan bahawa BR1M tidak perlu diteruskan, namun melalui maklum balas yang diterima, mereka sangat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan ini.
"Sehubungan itu, selaras dengan Aku Janji Kerajaan Barisan Nasional juga, suka cita saya umumkan, BR1M akan dinaikkan," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Kesemua penerima senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 akan menerima BR1M sebanyak RM1,050.
Bagi isi rumah berpendapatan bulan RM3,000 dan ke bawah, mereka akan menerima pemberian BR1M sehingga RM1,000 manakala isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 akan menerima bantuan sehingga RM800.
Skim Khairat Kematian sebanyak RM1,000 akan diteruskan, manakala penerima bagi kategori bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak lebih dari RM2,000, kadar bantuan akan dipertingkatkan daripada RM350 kepada RM400.
0 comments:
Post a Comment