Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 10, 2015

(KUANTAN) PADAH MENYAMAR PEGAWAI IMIGRESEN

Padah menyamar pegawai Imigresen



Seorang lelaki mengambil kesempatan atas identitinya yang dikenali sebagai ‘pegawai Imigresen’ untuk menerima suapan RM5,000 daripada seorang ahli perniagaan sebagai dorongan untuk menangkap seorang pekerja wanita warga China.

Mohd Saufi Daud, 39, yang sebenarnya hanya seorang pembantu kedai tersilap langkah apabila identitinya terbongkar hasil laporan dibuat pengadu sebelum dia dicekup pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh yang sudah berkeluarga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan semalam bagi dua tuduhan menerima suapan membabitkan jumlah keseluruhan RM5,000.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syafinas Shabudin, tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai RM1,000 daripada seorang ahli perniagaan selepas dia memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen dan mempunyai kuasa untuk menangkap wanita warga China dikenali sebagai Xia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Jalan Air Putih di sini kira-kira jam 12.15 pagi, 14 Mei lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan RM4,000 daripada lelaki sama sebagai upah kerana menangkap wanita terbabit.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di jalan IM7/1, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira jam 5 petang 15 Mei 2015.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pertama bagaimanapun akur dan mengaku bersalah bagi tuduhan kedua yang dibacakan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof.

Dalam sebutan kes itu semalam, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan memohon satu tarikh sebutan singkat untuk fakta kes dan hukuman bagi pertuduhan kedua selepas tertuduh mengaku bersalah.

Dalam rayuan terhadap jumlah jaminan yang ditawarkan, tertuduh hanya merayu agar jumlah itu diringankan atas alasan menyara keluarga.

Habibah dalam keputusannya menetapkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan manakala 29 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan fakta kes dan hukuman.



0 comments:

share2