Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 3, 2015

DUA BERADIK LEPAS GIAN DALAM BILIK


Dua beradik lepas gian dalam bilik


Kuala Terengganu - Kegiatan dua beradik pendatang asing menjadikan rumah kongsi yang didiami bersama ahli keluarganya yang lain bagi melepaskan gian dadah akhirnya terbongkar selepas kediaman berkenaan diserbu pihak Jabatan Imigresen Terengganu, malam semalam.

Dalam serbuan lebih kurang jam 10 malam itu, dua beradik berusia 28 dan 29 tahun ditahan ketika sedang asyik menghisap dadah di dalam salah sebuah bilik tidur di rumah berkenaan, dan turut dijumpai bersama mereka beberapa alatan yang dipercayai digunakan bagi melepaskan gian menghisap barang terlarang tersebut.

Turut berada di dalam rumah tersebut, kedua ibu bapa mereka serta seorang wanita dipercayai teman wanita salah seorang daripada dua beradik berkenaan.

Hasil pemeriksaan turut mendapati kedua beradik ini tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, manakala ibunya merupakan warga Indonesia dan bapanya memiliki taraf PR.

Ketua Penguatkuasa Imigresen Negeri, Salihin Salleh berkata, sebanyak lima serbuan dilakukan dalam operasi yang mengambil masa lebih kurang lima jam yang menyasarkan penempatan warga asing, termasuk di rumah kongsi dan sewa di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Jelasnya, semasa serbuan dilakukan, ada warga asing yang sempat melarikan diri melalui pintu belakang apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, dalam operasi yang berakhir jam 3 pagi tadi (semalam), seramai 60 warga asing berjaya diperiksa dan daripada jumlah itu, 21 daripadanya ditahan kerana didapati melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih tempoh.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Pakistan, Myanmar dan Indonesia berumur antara 17 hingga 41 tahun,” katanya.

Kesemua Pati yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Ajil, Hulu Terengganu sementara dua beradik yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

0 comments:

share2