Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 23, 2015

TEMERLOH: MASIH GIAT KUTIP DERMA


Masih giat kutip derma


Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap pihak yang mengutip derma ‘sumbangan’ untuk Palestin melalui sebuah pertubuhan yang telah diketahui menyeleweng sebelum ini.

Malah Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan juga pernah mengeluarkan amaran kepada yayasan tersebut yang diketahui mengutip derma tanpa kebenaran pihak berkuasa agama itu.

Seorang pelanggan pasar raya, Nordin Mohamad 45, berkata, pihak berkenaan kerap kali meletakkan tabung di atas kerusi di hadapan sebuah premis sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, malah tabung tersebut terus dibiarkan di hadapan premis sepanjang Ramadan kali ini dalam usaha meraih simpati penderma untuk ‘menghulurkan bantuan’ kepada Palestin.

“Sudah banyak kali media melaporkan tentang yayasan ini yang menipu dan menggunakan nama Palestin untuk mengutip derma.

“Mereka menyeleweng dan tidak pernah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa agama negeri untuk mengutip derma, kenapa sehingga sekarang tidak ada tindakan daripada pihak berkuasa.

“Saya gesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera supaya orang ramai tidak tertipu dengan usaha mereka menarik simpati orang ramai dalam bulan Ramadan ini,” katanya.

Nordin berkata, tabung tersebut pernah dilihat diletakkan di premis yang sama pada bulan Ramadan tahun lalu dan berterusan diletakkan di situ tanpa sebarang tindakan diambil pihak berkuasa.

Menurutnya, dengan aduan secara terbuka dibuat menerusi media ini diharap dapat membuka mata masyarakat mengenai tabung berkenaan selain tindakan segera patut diambil pihak berkuasa agama negeri.

0 comments:

share2