Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 22, 2015

PERNAH BERBUKA AIR PILI BOMBA


Pernah berbuka air pili bomba


Seremban - Pernah hanya berbuka puasa dengan air pili bomba, namun ia tidak melunturkan semangat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, di sini, untuk menjalankan tugas sebaiknya ketika Ramadan.

Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Ehsan Sukardi berkata, memang sudah menjadi tanggungjawab anggota bomba untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kecemasan menyebabkan mereka tidak berpeluang berbuka puasa seperti mana orang lain, apatah lagi bersama keluarga.

Beliau yang sudah pun berkhidmat selama 36 tahun dalam pasukan itu berkata, antara pengalaman yang masih diingati adalah anggota terpaksa meninggalkan juadah yang sudah terhidang, lima minit sebelum waktu berbuka kerana menerima panggilan kecemasan dan terpaksa bergegas ke lokasi.

“Keutamaan kita adalah menyelamatkan nyawa kerana itulah peranan kami sebagai pasukan penyelamat. Jika kita lambat, mungkin ada nyawa yang hilang.

“Pernahlah juga pengalaman saya berbuka dengan hanya minum air dari pili bomba sebagai syarat. Walaupun begitu ia tidak melemahkan semangat kami, tapi berbangga kerana tugas dan peranan sebagai anggota bomba,” katanya.

Selain itu, katanya, anggota bomba juga sering kali terpaksa berbuka di lokasi dengan hanya meneguk air minuman dan menjamah kurma yang diberi penduduk.

"Sekiranya ada peluang, kami hanya berbuka puasa secara ala kadar sahaja dengan membeli juadah di bazar Ramadan. Kalau berkesempatan, kami akan masak bersama-sama," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, di sini.

Berhubung jadual tugasan pula, Mohamad Ehsan berkata, tidak ada perubahan jadual sebaliknya sama dengan hari biasa.

"Kita ada dua syif bekerja iaitu jam 8 pagi hingga 8 malam dan 8 malam hingga 8 pagi.

“Anggota syif pagi itu semuanya kena berbuka di balai. Walaupun hanya tinggal beberapa minit saja lagi waktu tamat kerja, mereka semuanya perlu ada di balai. Bimbang kalau ada kejadian kecemasan memerlukan kami ke tempat operasi,” katanya.

Jika ada kesempatan, katanya, mereka akan melakukan solat tarawih bersama-sama di balai, bagaimanapun bergantung kepada keadaan.

0 comments:

share2