
Kulim - Penduduk di beberapa kawasan perumahan sekitar daerah ini, meminta pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) turun padang menyelesaikan masalah air paip di rumah mereka yang didakwa berbau minyak tanah.
Seorang penduduk Taman Meranti, Tuty Sarini Zainul Abidin, 33, berkata dia menyedari bekalan air paip yang digunakannya berbau minyak tanah atau gasolin sejak kelmarin.
Menurutnya, dia mengetahui air paip di rumahnya berbau minyak tanah selepas membuka paip air untuk memasak.
"Pada mulanya saya ingatkan bau ini sekejap sahaja, tetapi ia berlarutan sehingga hari ini (semalam)," katanya.
Katanya, dia bimbang jika masalah itu tidak diselesaikan secepat mungkin, penduduk yang terlibat akan keracunan kerana mereka sememangnya menggunakan bekalan air itu untuk melakukan rutin harian.
Manakala, seorang penduduk Taman Anggerik, Nur Amilia Abd Rahman, 24, berkata, dia mula perasan bekalan air paip di rumahnya berbau apabila mahu memasak sejak empat hari lalu.
Menurutnya, sebelum itu, emaknya ada bertanya sama ada air di rumahnya mengeluarkan bau minyak tanah atas tidak.
"Selepas itu, saya segera pulang ke rumah dan mendapati air paip di rumah saya juga ada bau sama.
“Saya cuba hidu air itu, memang rasa macam minyak tanah. Saya juga cuba bertanya rakan-rakan di laman sosial Facebook, mereka pun mengakui perkara yang sama,” katanya.
Tambahnya, pihak berwajib perlu menyelesaikan segera masalah ini sebelum perkara lebih buruk berlaku.
Dalam pada itu, menurut sumber Sada, pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut sebaik menerima aduan daripada pengguna.

0 comments:
Post a Comment