
Kuala Lumpur - Malaysia kesal dan mengutuk serangan terhadap bangunan Parlimen Afghanistan pada Isnin (22 Jun) yang puak Taliban mengaku bertanggungjawab.
Timbalan Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Siti Hajjar Adnin, yang mewakili negara mengucapkan takziah dan simpati amat mendalam kepada keluarga dan orang tersayang mangsa yang terbunuh, berkata satu-satu cara menanganinya adalah menerusi rundingan politik secara aman.
"Disebalik serangan itu, kami berharap Afghanistan akan meneruskan usaha untuk memuktamadkan pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional berdasarkan perkongsian kuasa dan transformasi sosial.
"Kami faham betapa pentingnya sikap saling menghormati dan keterangkuman dalam perkara ini," katanya pada Debat Majlis Keselamatan PBB bagi Misi Bantuan di Afghanistan (UNAMA) mengenai Situasi di Afghanistan, di New York pada Isnin.
Ucapan Siti Hajjar dihantar kepada Bernama di sini pada Selasa.
Beliau berkata Malaysia akan memberikan sokongan kepada semua pihak dalam usaha merealisasikan agenda ditetapkan Presiden Afghanistan Ashraf Ghani Ahmadzai dan Ketua Pegawai Eksekutif Afghanistan Dr Abdullah Abdullah.
"Oleh itu, adalah menjadi harapan kami agar semua usaha ini akan memaparkan iltizam rakyat dan kerajaan Afghanistan terhadap Dekad Transformasi yang diterajui Afghanistan dan dimiliki Afghanistan.
"Malaysia mengulangi sokongan terhadap usaha kerajaan Afghanistan dalam proses keamanan dan perdamaian, dan kami menyambut baik langkah Presiden Ashraf yang telah mengadakan banyak perbincangan dengan interlokutor tempatan dan serantau," kata Siti Hajjar.
Katanya Malaysia juga menyambut baik kemajuan dicapai dalam mengusahakan pembaharuan pilihan raya dan menggesa kerajaan cekal melaksanakannya dan juga pembaharuan lain.
"Pada pandangan kami, suasana positif berkekalan di rantau itu akan menjadi pemangkin bagi perbincangan yang lebih terbuka dan konstruktif, dan kami menggesa semua pihak terus menyokong proses penting ini.
"Pemegang kepentingan utama di rantau ini juga perlu meningkatkan usaha dalam menyokong dan membantu Afghanistan, termasuk menerusi dialog lebih substantif dan forum kerjasama pelbagai hala, seperti proses 'Heart of Asia-Istanbul'," katanya.

0 comments:
Post a Comment