
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang membuat pemantauan setiap hari di semua bazar Ramadan bagi mengesan peniaga yang menaikkan harga secara tidak munasabah.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Alwi Abd Hamid berkata, KPDNKK menjalankan pemeriksaan di bazar Ramadan yang bermula jam 4 hingga 7 petang.
Menurutnya, pihaknya memberikan tumpuan terhadap tanda harga, harga makanan dan aspek timbang dan sukat.
“Peniaga diingatkan supaya meletakkan tanda harga ke atas juadah atau barangan yang dijual serta menggunakan alat timbang dan sukat yang ditetapkan.
“Kita mahu semua penjaja meletakkan tanda harga agar para pengguna ataupun pembeli tidak tertipu oleh segelintir penjaja,” katanya.
Alwi berkata, dengan adanya tanda harga ia dapat memberi maklumat kepada pembeli serta tahu harga sesuatu barang.
Beliau berkata, jika terdapat peniaga yang menaikkan harga secara tidak munasabah semasa pemantauan dijalankan, pihaknya akan meminta peniaga terbabit mengemukakan tunjuk sebab mereka berbuat demikian, atau untuk kesalahan lain akan dikenakan kompaun serta merta.

0 comments:
Post a Comment