Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 24, 2015

ENDAU: TUKANG RUMAH DITEMUI MATI LEMAS


Tukang rumah ditemui mati lemas


Mayat seorang tukang rumah yang hilang pada Ahad lalu selepas turun ke sungai mencari daun nipah di Kuala Sungai Endau, di sini telah dijumpai sekitar jam 6.05 pagi semalam.

Mangsa, Ko Lee Eng, 53, yang berasal dari Kampung Mentelong, Kuala Rompin itu ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dihanyutkan arus deras.

Ketua pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), Penolong Penguasa Bomba, Mohd Alias Husin, berkata, mayat mangsa ditemui penduduk sekitar yang turut menyertai operasi SAR.

“Berikutan penemuan tersebut, operasi mencari ditamatkan dan terima kasih kepada semua anggota pasukan SAR yang terlibat termasuk polis, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Akhbar ini semalam melaporkan Lee Eng, didapati hilang selepas turun ke sungai untuk mencari daun nipah dan dilihat seorang penduduk terkapai-kapai dihanyut arus deras meminta bantuan sebelum hilang di Kuala Sungai Endau berhampiran Taman Rumah Murah.

Sementara itu, isteri mangsa, Mazliza Junos, 37, menzahirkan rasa syukur kerana mayat suaminya telah ditemui selain mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi mencari suaminya sejak tiga hari lalu itu.

“Terima kasih kepada semua yang membantu mencari suami saya dan kami sekeluarga bercadang untuk mengebumikan mendiang di kampung halamannya di Kampung Mentelong, Kuala Rompin, selepas semua urusan selesai” katanya.

0 comments:

share2