Shah Alam – DAP Selangor sedia menjalin kerjasama politik dengan PKR dan mana-mana pihak untuk menubuhkan 'Kerajaan Gabungan Negeri Selangor' bagi memastikan kerajaan negeri tidak terjejas dan mengelakkan pembubaran Dun Selangor.
Pengerusinya, Tony Pua berkata, cadangan tersebut perlu disegerakan bagi menggantikan ketidakwujudan kerajaan PR dengan mengguna pakai kerangka dasar bersama dan manifesto Kerajaan Negeri Selangor pada PRU13 lalu.
“DAP Selangor dengan sebulat suara mengambil keputusan supaya tidak berniat menjejaskan kerajaan negeri Selangor dan pembubaran Dun Selangor adalah “last resort” yang langsung tidak diingini.
“Gabungan ini perlulah berasas secara menyeluruh kepada Kerangka Dasar Bersama (Common Policy Framework) dan manifesto kerajaan Selangor yang diberikan mandat oleh rakyat pada pilihan raya lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Rabu yang mengatakan gabungan politik PR tidak lagi berfungsi secara formal selepas mengambil kira situasi politik semasa.
Tindakan itu diputuskan selepas Pas menerima usul menamatkan kerjasama dengan DAP tanpa bahas di Muktamarnya yang ke-61 baru-baru ini, dan berikutan tindakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang mengumumkan penamatan riwayat PR.
Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (PJU) juga berkata, mesyuarat DAP Selangor baru-baru ini telah mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian untuk dibincangkan dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.
“Oleh sebab itu, perjumpaan antara DAP Selangor dengan Menteri Besar adalah amat penting dan perlu disegerakan untuk menyelesaikan kemelut politik ini secepat mungkin.
“Selagi mesyuarat ini belum diadakan, tidak hairanlah jika ada pihak-pihak yang ingin mencetuskan sangkaan buruk dalam media masa arus perdana,” ujarnya.
Sehubungan itu, Tony berkata lagi pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Azmin supaya mesyuarat tersebut dapat dilakukan dalam masa terdekat.
“Permintaan ini telah disampaikan kepada Menteri Besar pada hari Khamis lalu dan kami kini menunggu penetapan tarikh dan masa daripada pejabat beliau,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment