Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 20, 2015

'MAT NAK DAPAT PAHALA'


'Mat nak dapat pahala'


Krubong - Biarpun tidak normal namun kanak-kanak mengidap penyakit perut menggeleber sejak lahir berjaya menjalani ibadat puasa bermula pertama Ramadan.

Mohd Ramadhani Abdullah, 8, berkata, dia mahu mendapat pahala dan kerana itu sanggup menahan lapar dan dahaga biarpun sebelum ini tidak pernah diajar berpuasa.

Menurutnya, tahun ini paling menggembirakan dan bermakna kerana dapat merasai nikmat bersahur dan berbuka puasa selain ke bazar Ramadan.

“Mat seronok dapat puasa penuh satu hari. Sebelum ini Mat tak pernah berpuasa.

“Paling seronok dapat pergi ke bazar Ramadan dan makan nasi ayam dan sambal sotong,” katanya semalam.

Mohd Ramadhani bagaimanapun berkata, di sebalik keterujaan berpuasa, dia juga tidak dapat lari dari kesedihan kerana tidak dapat menyambut Ramadan bersama neneknya yang meninggal dunia tahun lalu.

Sementara itu, bapa angkatnya, Hashim Latif berkata, dia tidak sukar untuk mengejutkan Mat bangun sahur walaupun pertama kali berpuasa.

Menurutnya, keazaman anak angkatnya itu untuk menjalani ibadat puasa begitu tinggi.

Biarpun ada kalanya Mohd Ramadhani mengadu lapar, tapi dia sentiasa memberi kata-kata semangat kepada anak angkatnya itu untuk meneruskan puasa.

“Sebelum ini saya ingatkan dia dapat bertahan puasa sampai tengah hari saja. Tapi akhirnya dia berjaya puasa penuh semalam (kelmarin).

“Walaupun menghidapi masalah perut namun dia tetap mahu berpuasa dan tahu puasa akan dapat pahala,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan kisah Mohd Ramadhani yang memerlukan rawatan pakar bagi mengesan penyakit yang dideritainya sejak dilahirkan.

Perut murid Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong itu akan mengeras apabila demam selain tiada selera makan sehingga menyebabkan berat badannya hanya sekitar 14 kilogram.

Penyakitnya itu masih tidak dikenal pasti biarpun sudah menjalani pemeriksaan doktor pakar.

0 comments:

share2