Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 28, 2015

AIR MELIMPAH, BERTAKUNG DALAM PASAR


Air melimpah, bertakung dalam pasar


Jertih - Peniaga dan pengunjung pasar basah dan sayur-sayuran di tingkat bawah pasar Jertih (Jertih Souq) merayu agar pihak berkaitan menyelesaikan segera masalah air melimpah dan bertakung di pasar berkenaan.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali Lah, 45, berkata, masalah air bertakung dan memenuhi bahagian letak kereta malah mengalir sehingga tempat mereka berniaga berlaku sejak dua tahun lalu.

Dakwanya, lebih menjijikkan, air tersebut adalah air buangan dari premis kedai makan di tingkat satu pasar tersebut yang menyebabkan bau busuk selain sisa makanan bertaburan di lantai.

“Kami peniaga di sini sudah biasa dengan perkara ini tetapi apa tanggapan pengunjung yang sekali sekala datang untuk membeli belah di sini.

“Keadaan di bawah ini sentiasa berair akibat banyak sistem paip yang bocor,” katanya.

Lah berkata, semua peniaga merayu agar tindakan segera diambil untuk membaiki kerosakan paip tersebut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat kebocoran pada enam tempat pada paip tersebut.

Air berkenaan dikatakan air buangan daripada premis kedai makan di tingkat pertama Jertih Souq dan juga daripada air hujan akibat bahagian premis kedai makan itu tidak berbumbung.

Malah didapati juga ada peniaga yang terpaksa membina titi kayu untuk melalui kawasan berair berhampiran gerai tempat mereka berniaga.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Zainal Abidin Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, pihaknya telah meninjau dan menyiasat masalah itu dan pada Khamis lalu, MDB telah mengambil keputusan untuk mengeluarkan tender bagi kerja membaiki masalah kebocoran tersebut.

“Kerja membaiki kerosakan yang dianggarkan bernilai RM100,000 telah diluluskan dan tender akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

“Pihak kami memohon maaf atas kesulitan selama ini dan harap dapat bersabar sementara kerja membaiki masalah paip bocor itu dilakukan oleh kontraktor yang dilantik nanti,” katanya.

0 comments:

share2