Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 5, 2015

PEKAN: PENYANGAK SANGGUP TOLAK TEPI SOAL NYAWA

Akibat gelap mata dengan keuntungan yang diperoleh melalui kegiatan haram, masalah kecurian kabel semakin membimbangkan dan menjadi satu punca pendapatan mewah kepada mereka walaupun menghadapi risiko bahaya.

Kegiatan mencuri kabel hidup yang dilakukan adalah sangat berbahaya di mana ia boleh meragut nyawa jika tersentuh, namun ‘penyangak tembaga’ sanggup menolak tepi risiko berkenaan untuk mendapatkan wang daripada pembeli tembaga yang mewujudkan permintaan ini.

Pengerusi Persatuan Ketua-ketua Kampung daerah, Abdul Kadir Bakar mengakui hal tersebut dan telah memberi penekanan terhadap masalah kecurian kabel yang dilakukan oleh individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab dalam setiap mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diadakan.


Penyangak tembaga sanggup tolak tepi soal nyawa


“Perbuatan mencuri kabel dan fius di pencawang atau penyuap (feeder) yang pernah berlaku telah mengakibatkan kerosakan dan punca gangguan talian dan bekalan elektrik di kawasan terlibat.

“Sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga keharmonian kampung ini, kami kesal dengan kejadian yang berlaku kerana ia mengganggu kemudahan talian yang ada dalam kampung ini terutamanya pada saat-saat kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia juga terpaksa menanggung kerugian kerana kerja-kerja penyambungan semula kabel-kabel yang dicuri membabitkan kerugian beribu-ribu ringgit.

“Bagi mengatasi masalah tersebut, pihak TM telah memasang alat penggera tersembunyi yang akan mengesan sebarang kejadian kecurian kabel milik mereka.

“Penduduk turut diminta bekerjasama dengan menghubungi pihak TM dan pihak berkuasa jika ternampak orang awam dan individu yang mencurigakan berada di dalam kawasan pencawang mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, kes kecurian kabel di daerah ini masih rendah namun pemantauan sentiasa dilakukan bagi memastikan ia dapat diatasi sepenuhnya seterusnya menyediakan situasi selamat dalam masyarakat.

“Kes kecurian seperti ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman sehingga tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis juga berharap agar orang ramai yang mengalami masalah berkaitan kecurian kabel atau jenayah lain tidak mengambil tindakan sendiri dan terus berhubung dengan pihak berkuasa untuk memberi maklumat,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama orang ramai dapat membantu usaha polis untuk lebih kerap melakukan rondaan.

Sumber

0 comments:

share2