Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 8, 2015

ROMPIN: PENDUDUK GEMPAR LIHAT ASAP HITAM


Penduduk gempar lihat asap hitam


Asap hitam berkepul yang memenuhi ruang udara Bandar Lama Kuala Rompin menggemparkan penduduk sekitarnya yang mula berpusu-pusu ke kawasan bandar lama tersebut untuk mendapatkan kepastian mengenai kebakaran tersebut.

Jeti nelayan Kuala Rompin menjadi lokasi tumpuan untuk melihat kepulan asap tersebut seolah-olah ia berpunca dari sana. Namun, setelah tiba dapat dilihat dari jauh kepulan asap hitam itu berpunca daripada kebakaran yang berlaku di sebuah kilang pasir Kampung Tanjung Seratus.

Menurut Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Shukri Abd Rahim, kebakaran melibatkan sebuah bangsal penyimpanan di kilang pasir tersebut yang turut memusnahkan paip dan tong plastik.

“Pihak kami menerima makluman dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri mengenai kejadian kebakaran kilang tersebut sekitar jam 6.31 petang semalam (kelmarin) manakala sepasukan anggota menaiki sebuah jentera pemadam telah bergegas ke lokasi kebakaran.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 6.45 petang dan padam sepenuhnya pada 7.46 petang yang turut dibantu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Endau,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Shukri berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pemilik kilang jumlah kerugian yang dianggarkan adalah sekitar RM5,000.

Menurutnya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian dan ke atas pekerja kilang terbabit mendapati ia tiada unsur khianat dan kemungkinan disebabkan kesan pembakaran sampah.

0 comments:

share2