Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 2, 2015

PAKAR IT LICIK, DIBURU POLIS


Pakar IT licik, diburu polis


Jitra - Pakar dalam teknologi maklumat (IT), menawarkan harga rendah untuk pembelian komputer dan set kamera litar tertutup (CCTV) menjadi modus operandi seorang individu dalam menjalankan kegiatan penipuan sekitar Jitra sejak awal bulan Februari lalu.

Dikenali dengan nama Hizairi, individu berusia dalam lingkungan 27 tahun itu dikatakan menipu hampir 10 mangsa dengan pelbagai helah dan kini menghilangkan diri bersama wang tunai dan komputer milik mangsa.

Pada awalnya, suspek bekerja di sebuah kedai komputer di Pekan Jitra, di sini, sejak Januari lalu dan memberikan komitmen yang baik sepanjang tempoh sebulan bekerja.

Bagaimanapun, kelakuan pemuda yang beralamat terakhir dari Johor itu berubah apabila didapati cuba menarik pelanggan dengan menawarkan barangan komputer pada harga istimewa.

Seorang mangsa yang juga rakan kepada bekas majikan suspek, Khairul Izlan Hussin, 26, berkata, dia mengenali Hizairi ketika berkunjung ke kedai komputer milik rakannya itu pada 4 Februari lalu.

“Pada masa itu saya kenal dia sebagai seorang yang mahir dalam bidang IT kerana saya ada sebuah kedai komputer di Baling dan datang ke kedai ini untuk baiki komputer.

“Dalam pada itulah, saya ditawarkan dengan pembelian dan pemasangan set CCTV oleh suspek dengan harga amat murah berbanding harga pasaran biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, percaya dengan tawaran itu kerana kesungguhan yang dipamerkan oleh suspek membuatkannya berminat dengan tawaran itu.

“Awalnya, saya percaya dengan dia sebab dia sanggup datang ke Baling untuk melihat struktur kedai saya sebelum kerja pemasangan CCTV dilakukan.

“Kemudian, saya diminta untuk beri bayar wang RM2,350 ke akaunnya dengan tiga kali bayaran sebagai deposit pembelian set CCTV dan komputer. Tetapi sehingga hari ini barangan itu tidak diperoleh dan dia menghilangkan diri,” katanya.

Bekas majikan turut ditipu

Dalam pada itu, bekas majikan suspek, Zulkhairi Jamaludin, 31, mendakwa turut ditipu membabitkan kerugian kira-kira RM6,000.

Menurutnya, penipuan itu dilakukan suspek dengan menawarkan pembelian aksesori komputer dengan harga yang murah melalui pengedar yang dikenalinya di Kuala Lumpur.

“Pada pertengahan Februari lalu, saya diberitahu dia berada di sebuah pusat jualan komputer di Kuala Lumpur dan menawarkan peralatan komputer yang mahu dibelinya dengan harga yang murah.

“Masa itu saya belum tahu kegiatannya dan mempercayai tawarannya, jadi saya berikan sejumlah wang untuk beli aksesori komputer yang dimaklumkan,” katanya.

Zulkhairi berkata, apa yang dikesalkannya adalah tindakan suspek menipu orang ramai yang kebanyakan terdiri daripada pelanggannya menggunakan kemahirannya dalam bidang komputer untuk memperdayakan mangsa.

“Selepas dia menghilangkan diri dan gagal dihubungi, saya dikunjungi beberapa individu yang mengatakan mereka ada buat urusan pembelian komputer dan CCTV daripada suspek. Mereka meminta saya untuk bertanggungjawab disebabkan suspek bekerja dengan saya
ketika itu.

“Tetapi apa yang saya tahu, kebanyakan urusan yang dibuat melalui suspek dilakukan di luar kedai dan menggunakan nama syarikat milik suspek sendiri,” katanya yang turut membuat laporan polis terhadap bekas pekerjanya itu.

Taktik licik guna bahasa Mandarin

Dalam menjalankan aktiviti penipuan tersebut, suspek dikatakan menggunakan kebolehan berbahasa Mandarin untuk menyamar sebagai individu berlainan dan menggunakan empat nombor telefon.

Seorang lagi mangsa, Solehuddin Zainal Abidin, 24, berkata, dia menyedari ditipu suspek apabila mendapati nombor telefon seorang lelaki Cina merupakan nombor telefon suspek.

“Saya di maklum oleh suspek mengenai komputer yang dibeli melaluinya berada di sebuah kedai di Pulau Pinang untuk ditukar aplikasi lebih baik dan dimaklumkan akan dihubungi seorang lelaki Cina untuk hantar komputer itu.

“Lepas itu memang ada seorang lelaki telefon saya dengan pertuturan bahasa Melayu pelat orang Cina. Jadi saya tunggu individu itu mahu hantar komputer saya dan akhirnya senyap begitu saja.

"Bila saya periksa dengan bekas majikannya, ternyata individu menyamar Cina itu adalah Hizairi berdasarkan nombor telefon yang digunakan,” jelasnya.

Difahamkan, kegiatan penipuan oleh suspek itu turut memperdayakan beberapa orang guru sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pensyarah IPT sekitar Jitra dan laporan polis mengenai kegiatan suspek juga melibatkan beberapa lokasi lain seperti Johor dan Kuala Lumpur.

Polis masih buru suspek

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Abd Rahim Abdullah, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kegiatan itu dan suspek belum dapat dikesan.

Menurutnya, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas dakwan menipu dalam urusan jual beli.

“Sehubungan itu, kita masih mengesan suspek.

"Tindakan lanjut untuk membantu siasatan kes ini berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa yang terlibat.

“Kita meminta kerjasama daripada orang ramai supaya memaklumkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai mangsa atau pernah terpedaya dengannya” katanya.

0 comments:

share2