Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 2, 2015

KUANTAN: 10 NYARIS MAUT LANGGAR LUBANG


10 nyaris maut langgar lubang


Lebih sepuluh penunggang dan pembonceng motosikal termasuk dua beranak nyaris maut selepas motosikal yang dinaiki terlanggar lubang besar di bahagian tengah jalan dalam kemalangan di Jalan Beserah dekat sini, semalam.

Lubang seluas lebih satu meter dan sedalam lebih 30 sentimeter berhadapan sebuah resort di Kampung Baru Beserah didakwa wujud selepas kerja-kerja pemasangan sebuah kabel untuk projek pembangunan di kawasan itu.

Kejadian terbaru berlaku ketika Rosni Abd Aziz, 30 bersama anaknya, Putri Nur Qaseh Qaisara, 4, pulang dari membeli barangan dapur kira-kira jam 9 malam semalam di Beserah sebelum melalui kawasan itu.

Rosni berkata, dia tidak dapat nampak lubang besar di tengah jalan itu kerana keadaan jalan gelap dan ada kenderaan lain di bahagian kanan jalan terbabit.

“Motosikal saya tiba-tiba terhumban ke dalam lubang dan anak tercampak beberapa meter ke bahagian tengah jalan mengakibatkan luka teruk di bahagian perut, lengan dan muka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan menahan sakit dia sempat bangun mendapatkan anaknya dan bersyukur ketika itu tidak ada kenderaan yang lalu dan sempat menarik Nur Qaisara ke tepi jalan.

Akibat kejadian itu juga, Rosni yang tinggal di Balok Perdana bukan sahaja luka di bahagian lengan dan tangan serta kehilangan dompet yang mengandungi beberapa dokumen penting termasuk myKad.

“Saya merayu supaya mereka yang terjumpa dompet saya, kembalikan segera myKad di balai polis berdekatan atau hubungi saya di talian 013-4416389. Saya tidak kisah kehilangan wang tetapi paling penting ialah dokumen di dalam dompet itu,” katanya.

Rosni berharap, pihak berkuasa dapat menangani masalah ini dengan membaiki segera lubang itu dengan segera supaya tiada lagi mangsa lain yang menerima nasib sama.

Lebih sepuluh kecederaan

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, Ramdzan Rakna, berkata, lubang berkenaan wujud sejak sebulan lalu selepas beberapa pembangunan dilaksanakan di kawasan itu.

Katanya, sehingga kini, lebih sepuluh kemalangan berlaku membabitkan penunggang motosikal dan kesemua mangsa cedera dan dirawat di klinik berdekatan namun masih tiada tindakan dilakukan.

Beliau berkata, bagi mengelakkan berlaku kemalangan, penduduk setempat meletakkan papan tanda yang disandarkan pada kon jalan tetapi tidak dapat berfungsi dengan baik kerana angin kerana kenderaan dipandu laju.

“Mereka turut menimbusnya dengan pasir tetapi gagal menutup bahagian lubang itu sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, jalan terakhir ialah menandakan lubang berkenaan dengan tong sampah besar tetapi keadaan berkenaan boleh membahayakan pengguna kerana berada di bahagian tengah jalan raya.

“Kami buntu kerana usaha yang mampu dijalankan tidak menyelesaikan masalah namun pihak berkaitan yang ditemui belum mengambil tindakan,” katanya yang turut meninjau kawasan itu.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Beserah Utara, Ab Ghani Talib pula mencadangkan supaya pembaikan jalan dapat dilaksanakan dengan segera kerana jalan berkenaan adalah laluan utama dari Kemaman ke bandar Kuantan.

Justeru, katanya, setiap hari banyak kenderaan yang melalui jalan itu selain penduduk tempatan yang menaiki motosikal.

“Kita tidak mahu ada kematian hanya kerana satu lubang di tengah jalan namun sebelum ini semua mangsa cedera dan ada yang luka teruk di bahagian badan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan lebih membahayakan pemandu pada waktu malam kerana tiada lampu dan hanya beberapa meter dari selekoh sebelum melalui kawasan berlubang itu.

0 comments:

share2