Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 2, 2015

KUALA LIPIS: 70 PERATUS KEDIAMAN MANGSA BANJIR DIBINA SEMULA


70 peratus kediaman mangsa banjir dibina semula


Kerajaan negeri yakin pihak dipertanggungjawabkan untuk projek membina rumah baharu dan membaik pulih kerosakan kediaman mangsa banjir telah meneliti dan menilai kerosakan itu dengan sempurna bagi memudahkan peruntukan disalurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini, projek penempatan baharu bagi mangsa banjir negeri ini membabitkan pembinaan semula dan membaik pulih kediaman sudah melebihi 70 peratus siap menjelang tempoh yang diberikan sehingga akhir Mac ini.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah masing-masing telah melaksanakan siasatan terperinci berhubung kerosakan dan kemusnahan rumah, premis, termasuk kemudahan asas selepas banjir itu.

“JKR dan Pejabat Daerah siap membuat penilaian sebelum kerja membaik pulih dan membina baharu rumah berkenaan agar tidak terlepas pandang sekali gus merealisasikan tanggungjawab sosial kerajaan iaitu memastikan mangsa hidup selesa selepas tempoh pemulihan ini.

“Mereka (mangsa) juga berhak mengemukakan masalah ini mengikut saluran yang betul iaitu kepada ketua kampung, penghulu, pejabat daerah mahupun wakil rakyat BN masing-masing jika tercicir daripada senarai projek membaik pulih selepas banjir, baru-baru ini,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian selepas meninjau kerosakan rumah mangsa banjir seorang warga emas, Abdullah Busu, 63, di Kampung Ketoyong, Jelai di sini, kelmarin.

Hadir sama, Penghulu Mukim Jelai, Asyhar Amin Ahmad.

Beliau yang juga Adun Jelai berkata, mangsa banjir wajar bersabar kerana kerajaan memberi jaminan modus operandi membaik pulih kediaman bakal dilaksanakan menerusi bantuan JKR dan GiatMara secara berperingkat.

“Kita mengutamakan projek membina baharu rumah mangsa yang masih menumpang di khemah sementara agar mereka segera berpindah, manakala kerja membaik pulih kediaman yang rosak sehingga ini berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, kerajaan mengenal pasti lima rumah yang musnah perlu dibina baharu dan enamyang rosak di kawasan Dun Jelai akan dibaik pulih dalam masa terdekat. 

“Projek rumah baharu dan kerja membaik pulih itu akan dilaksanakan JKR dan Pusat GiatMara dalam masa terdekat,” katanya.

0 comments:

share2