TENOM (Sabah) - "Aromanya harum... dan rasa kopinya sungguh memikat", itulah gambaran yang sesuai bagi mencerminkan perasaan pelawat yang mengunjungi Kilang Kopi Yit Foh, antara pengeluar produk Kopi Tenom di sini.
Kilang, yang beroperasi sejak 1960, itu masih mengekalkan kaedah tradisional dalam menghasilkan serbuk kopi iaitu menggunakan kayu api untuk memanggang biji-biji kopi.
"Kaedah ini mampu membangkitkan aroma kopi asli", kata pengurus kilang Alex Yong ketika ditemui Bernama di kilangnya di Kampung Chintamata yang terletak kira-kira 3km dari pekan Tenom.
Alex, yang mewarisi perniagaan turun-temurun keluarganya, membuka kilang baharu pada 1993 dan kini berusaha mengembang pasaran produknya merentasi seluruh negara dan dunia.
CARA MENGHASILKAN KOPI
Kerja-kerja pembuatan kopi bermula dengan menjemur buah kopi selama 14 hari, kemudian dikupas kulit biji kopi sebelum dipanggang dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari oleh 'tukang masak kopi' manakala aktviti pembungkusan dilakukan mulai 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Yong mempunyai 36 petugas termasuk enam 'tukang masak kopi' yang berpengalaman berupaya mengeluarkan sebanyak 600 paket produk kopi sehari.
Kini, kilang itu mempunyai 10 jenis produk kopi pelbagai perisa termasuk gula, krimer dan tanpa gula dipasarkan ke seluruh negeri dan memasuki pasaran di Brunei.
Kopi juga memberi ruang kepada para petani tempatan mencari punca pendapatan selain secara tidak langsung memperkenalkan Sabah sama seperti Teh Boh yang mempopularkan Cameron Highlands di Semenanjung.
PESTA KOPI TENOM CIPTA REKOD
Kopi adalah antara hasil pertanian penting di Tenom, sehingga daerah itu mendapat jolokan 'ibu negeri' kopi Sabah.
Untuk menampilkan produk penting daerah itu, satu pesta kopi selama tiga hari bermula hari ini (12 Nov) diadakan dengan acara kemuncak pada Jumaat ini (14 Nov) ialah 'Minum Kopi Tenom Malaysian Book of Records'.
Acara kemuncak itu, yang dijangka dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, akan menyaksikan satu rekod baru dicatatkan dengan 4,000 orang meminum kopi dengan serentak, mengatasi rekod sedia ada seramai 3,068 orang.
"Pada majlis itu, kita juga mengadakan pameran Kopi Tenom dengan menjemput pihak rantaian kedai kopi Starbucks dan Coffee Bean selain menerbangkan enam buah kapal terbang Micro light membawa bendera Kopi Tenom", kata Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan.
MEMPERKENALKAN TENOM KE SERATA DUNIA
Selain memperkenalkan kopi Tenom, acara itu juga memperkenalkan pelbagai tarikan pelancongan di Tenom yang kaya dengan kebudayaan suku kaum Murut, katanya.
Program itu akan dimeriahkan dengan acara hiburan, pertandingan mencipta kopi Tenom dan Pesta Ratu Kopi Tenom pada acara julung kali itu.
Tenom kini semakin menyerlah sebagai satu daripada destinasi pelancongan di Sabah selain mempunyai potensi tinggi untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian bagi memenuhi keperluan negara.
Tenom, yang terletak kira-kira 173 kilometer dari selatan Kota Kinabalu, bersempadan dengan Keningau, Sipitang, Beaufort dan Wilayah Kalimantan di Indonesia, adalah diliputi kawasan seluas 2,238 km persegi.
Anggota Parlimen Tenom Datuk Raimee Unggi yang mewakili 68,000 penduduk dengan 70 peratus daripadanya kaum Murut bertekad membangunkan daerah itu berikutan potensinya sebagai "lubok emas tersembunyi" dalam industri pertanian.
"Di Tenom, kini fokus utama adalah meningkatkan ekonomi orang kampung memandangkan Tenom mempunyai produk tanaman dan buah-buahan yang ada nilai komersial tinggi", katanya kepada Bernama ketika lawatan program pembangunan di daerah itu, baru-baru ini.
Beliau mahu mewujudkan pusat pungutan hasil tanaman dan buah-buahan di Tenom bagi menyelaras sumber pertanian pekebun dan petani terbabit selain menjana pendapatan tinggi kepada penduduk.
Raimee, yang juga Pengerusi Majlis Pertanian Parlimen Tenom, berkata pusat itu akan dilengkapi peralatan moden, tempat pembungkusan dan penyimpanan segar.
"Kita mahu petani dapat harga yang terbaik bagi produk terbaik yang dihasilkan mereka", katanya.
Antara hasil pertanian yang berpotensi tinggi ialah buah-buahan seperti pisang, avocado, jambu dan betik.
0 comments:
Post a Comment