Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 12, 2014

KUANTAN : LANTIK BADAN KHAS LULUS TANAH

Kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Lembah Bertam memerlukan
penyiasatan menyeluruh bagi elak tragedi itu berulang




Kemusnahan di Cameran Highlands didakwa berpunca daripada sebilangan kecil petani warga tempatan yang kaya dan tamak sehingga sanggup menolak kepentingan penjagaan alam semulajadi.

Presiden Parti Sosialis, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) cawangan Cameron Highlands, B. Suresh Kumar, mendakwa, selama 11 tahun di Cameron Highlands, pembangunan yang tidak terkawal sama ada pembangunan pertanian atau komersial sentiasa berlaku.

Menurutnya, lebih 80 peratus kawasan berbukit di daerah itu menyebabkan petani terbabit terpaksa meneroka hutan, menarah dan membersihkan tanah.

“Warga asing bukan penyebab utama masalah tanah runtuh di kawasan itu kerana mereka hanya bekerja, tetapi saya boleh katakan bahawa kerosakan berlaku perlu dipertanggungjawabkan kepada petani berduit,” katanya.

Beliau mendakwa, sekumpulan kecil warga tempatan yang kaya sanggup membuka tanah di kawasan bahaya sehingga ratusan hektar hanya untuk kepentingan diri sendiri.

Katanya, golongan ini hanya segelintir sahaja tetapi kerosakan yang dilakukan adalah besar.

“Ada petani kecil yang mohon tanah di kawasan sama ditolak dengan alasan pembekuan tanah sejak tahun 2003, tetapi ada yang menjalankan pertanian secara komersial di situ (kawasan sama) selepas itu,” katanya.

Beliau bertegas bahawa masalah sekarang ialah kelemahan penguatkuasaan dan ada unsur rasuah kerana beberapa aduan yang diterima parti itu turut membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suresh juga mendakwa ada bukti unsur rasuah kerana sebelum ini ada kes yang ditolak badan itu kerana mendakwa bukan di bawah bidang kuasanya.

“Saya tidak yakin masalah ini akan selesai dan menyifatkan apa yang berlaku sekarang hanya gertakan SPRM untuk melegakan masyarakat ketika isu masih panas dan perkara ini pasti berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, akibat kerakusan itu, Empangan Sultan Abu Bakar kini semakin cetek dan dimaklumkan dua per tiga daripadanya hanya dipenuhi tanah sekali gus membuktikan keadaan sungai tidak dapat menampung air.

“Pihak berkuasa terpaksa membuka pintu empangan bagi mengelakkan keadaan lebih teruk tetapi malangnya penduduk tetap menerima nasib sama,” katanya.

Suresh mencadangkan supaya kerajaan negeri lebih terbuka dengan melantik satu badan khas yang dianggotai beberapa wakil yang tidak berkepentingan termasuk penduduk Cameron Highlands.

Katanya, badan ini perlu diberi kuasa penuh dan bebas membuat keputusan mengenai pembelian tanah supaya pembangunan lebih terancang dan mengelakkan rasuah.

Beliau turut mencadangkan tanah kurang daripada dua hektar perlu diberi hak milik kekal supaya petani yang mengusahakannya lebih bertanggungjawab ke atas pertanian yang dijalankan.

“Petani yang kaya pula mesti diberi pendidikan dalam pertanian sebagai usaha mengelakkan kemusnahan berlaku selain pemantauan daripada badan khas yang dilantik itu,” katanya.







0 comments:

share2