Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 15, 2014

UPSR KEMBALIKAN SEMANGAT CALON UPSR


Kamarudin bersama guru SKKP memotong kek kemerdekaan pada majlis penutup bulan kemerdekaan peringkat sekolah.

Kuala Pilah – Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah (SKKP) akan mengadakan pelbagai program termasuk motivasi dan bengkel subjek Sains serta Bahasa Inggeris untuk jangka masa pendek selepas cuti persekolahan ini.

Langkah itu diambil bagi mengembalikan semangat calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Guru Besar SKKP, Kamarudin Said berkata, pengumuman oleh Kementerian Pelajaran berkaitan kebocoran soalan subjek Bahasa Inggeris dan Sains bagi UPSR, baru-baru ini bukan sahaja mengecewakan calon tetapi juga guru yang sememangnya memberi komitmen tinggi dalam tempoh peperiksaan UPSR dilaksanakan.

“Kami bimbang, semangat calon akan terganggu kerana perlu mengambil semula subjek Sains dan Bahasa Inggeris yang dijangka pada 30 September ini.

“Bagaimanapun, tanggungjawab kami sekarang adalah untuk ‘memulihkan’ semangat calon UPSR sekolah ini iaitu seramai 119 orang," katanya ketika ditemui selepas perasmian penutupan bulan kemerdekaan di dewan Sri Lemak peringkat SKKP.

Menurutnya, pihaknya membenarkan calon UPSR merehatkan diri selama seminggu agar tidak tertekan.

“Kami faham mereka beranggapan selepas selesai UPSR, mereka boleh ‘merdeka’ tetapi sebaliknya selepas cuti persekolahan, mereka perlu menduduki UPSR sekali lagi.

“Justeru sepanjang tempoh itu, pihak sekolah akan mengadakan pelbagai program termasuk program motivasi, bengkel subjek Sains dan Bahasa Inggeris jangka masa pendek supaya calon lebih konsisten.

“Kami bimbang, jika semangat mereka hilang, keputusan USPR sudah pasti akan terganggu sekali gus merugikan mereka,” katanya.

SKKP menyasarkan 30 murid akan memperoleh 5A dalam UPSR sekali gus meningkat daripada tahun lepas di mana hanya 21 murid memperoleh 5A.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah merupakan acara tahunan yang dimulakan sejak awal Ogos lagi dengan pelbagai pengisian program seperti pertandingan mewarna, nyanyian lagu patriotik, deklamasi sajak kemerdekaan dan beberapa acara lagi.

“Matlamat sekolah adalah memberi pengetahuan kepada guru serta murid selain menyemai rasa cinta menerusi amalan murni yang diterap selaras dengan falsafah pendidikan,” katanya.

0 comments:

share2