Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 15, 2014

MUHYIDDIN: INSIDEN KEBOCORAN UPSR MEMALUKAN


UPSR Bocor

Genting Highlands - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan isu kebocoran soalan kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai satu perkara memalukan di sebalik negara dilihat mempunyai sistem pendidikan antara terbaik di dunia.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan kesal perkara seperti itu masih berlaku walaupun sistem pendidikan yang teratur telah diwujudkan oleh kementerian sejak sekian lama.

"Ini memang sesuatu yang boleh saya katakan memalukan, perkara seperti itu masih berlaku," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan(KPPK) ke-20, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Rabu lepas, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengumumkan peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains 018, 028, 038 yang dijadualkan pada Khamis ditangguhkan berikutan kebocoran kertas peperiksaan dikesan sehari sebelum itu.

Keesokannya, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata kertas UPSR mata pelajaran Bahasa Inggeris 1 dan 2 juga bocor, dikesan setelah pelajar menduduki kertas tersebut dan kerajaan menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata intipati mesyuarat khas isu UPSR yang dipengerusikannya di Putrajaya pagi tadi akan diumum dalam masa terdekat.

"Sebentar tadi kita baru selesai mesyuarat khas, banyak perkara yang kita bincangkan, saya tak perlu umumkan dahulu," katanya.

Bagaimanapun, beliau menarik perhatian mesyuarat itu membincangkan antaranya langkah bagi memperkukuh sistem pendidikan dan proses peperiksaan awam serta inisiatif baharu bagi memastikan integriti LPM, kementerian dan jabatan perguruan dihormati dan disegani.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau menyambut baik saranan presiden KPPK dalam ucapannya, supaya budaya mengharapkan kepada soalan bocor tidak diamalkan lagi.

0 comments:

share2