Batu Pahat - Kerajaan Pulau Pinang dibidas kerana terlalu 'mesra' dengan syarikat pemaju hartanah sehingga mengabaikan kebajikan rakyat terutamanya masyarakat Melayu di negeri itu.
Perwakilan Pas daripada Pulau Pinang, Izuri Ibrahim berkata sikap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng itu telah mengakibatkan harga tanah dan rumah melambung melangkaui kemampuan rakyat untuk memilikinya.
"Disebabkan dasar-dasar yang mesra dengan syarikat-syarikat pemaju perumahan, banyak kawasan penempatan Melayu menjadi mangsa kepada kerakusan menyebabkan pemindahan penduduk."
"Pas Pulau Pinang tidak menentang pembangunan. Apa yang membimbangkan kini adalah kerajaan negeri terlalu propemaju sehingga mengabaikan kebajikan rakyat," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar Pas ke-60 di Parit Raja, di sini hari ini.
Ketika ini, disebabkan dasar yang terlalu 'mesra' terhadap pemaju, harga rumah di Pulau Pinang melambung tinggi sehingga mencecah antara RM500 hingga RM600 satu kaki persegi, menyebabkan ramai kalangan masyarakat sukar membeli rumah.
Jika kerajaan Kelantan mampu menjaga kepentingan penduduk Cina yang merupakan golongan minoriti, beliau juga mengharapkan Pulau Pinang membuat perkara yang sama dengan memelihara kebajikan penduduk Melayu yang merupakan golongan minoriti di negeri itu.
Pas Pulau Pinang mahukan kerajaan negeri melibatkan parti (Pas) dalam penggubalan dasar-dasar yang mesra rakyat dan lestari di dalam isu perumahan serta pemindahan penduduk yang terjejas.
Bagi penduduk yang terlibat dengan pemindahan, Izuri meminta mereka diberikan rumah percuma bernilai RM75,000 di lokasi sama, rumah transit manakala keluarga mereka diberikan peluang membeli rumah di lokasi sama.
Sumber
Sumber
0 comments:
Post a Comment