Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 17, 2013

Hj Hadi Ulama Sombong


TIDAK dinafikan keangkuhan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengulas saranan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasaharudin Mat Isa supaya dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama, cukup terserlah.

Saranan Nasharudin yang bertujuan memenuhi tuntutan perintah Allah sekali gus memperkukuhkan semula kesepaduan umat Islam di negara ini hanya menjadi bahan sindiran Abdul Hadi. Beliau menyifatkannya sebagai cadangan pihak yang sedang 'lemas' atau terdesak dalam usaha mendapatkan pertolongan daripada orang lain untuk menyelamatkan diri.

Sungguh hairan, dalil atau nas mana yang digunakan oleh Abdul Hadi sebagai sandaran sehingga beliau yang mempunyai ketinggian ilmu dalam bidang agama sanggup berkata demikian.

Abdul Hadi bukan calang-calang orang. Beliau merupakan lulusan sarjana muda di Universiti Islam Madinah dalam bidang syariah dan sarjana di Universiti Al-Azhar dalam bidang Siasah Syariyyah.

Mustahil pensyarah-pensyarah yang diiktiraf sebagai alim ulama di kedua-dua universiti tersohor ini mengajar Abdul Hadi supaya menolak perpaduan.

Oleh itu respons Abdul Hadi itu sangat mengecewakan. Perpaduan serta persaudaraan dalam Islam merupakan perkara paling utama dan Rasulullah SAW tidak pernah berkompromi mengenainya.

Abdul Hadi sudah tentu lebih arif tentang ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis Rasulullah yang menyeru kepada perpaduan seperti mana petikan ayat ketiga dalam surah Ali Imran yang bermaksud;

"Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah.''

Begitu juga dalam ayat kesepuluh surah Al-Hujurat yang bermaksud; "Orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.''

Antara hadis Rasulullah yang menyentuh mengenai perpaduan dan persaudaraan; "Hendaklah kalian bersatu, kerana sesungguhnya Tangan Allah berada bersama al-jamaah (kesatuan)." (Riwayat Tarmizi dan Nasaie)

"Orang Islam bersaudara dengan orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayainya, dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaannya), dan tidak boleh mendustainya, dan tidak boleh menghinanya." (Riwayat Muslim)

Tidak mungkin Abdul Hadi tidak mengetahui bagaimana Rasulullah telah mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar tatkala baginda mula-mula berhijrah ke Madinah.

Hasil daripada persaudaraan yang jitu itu Islam menjadi kuat dan syariat Islam termasuk perundangan jenayah syariah (hudud, qisas dan takzir) berjaya dilaksanakan.

Manakala kaum-kaum lain seperti Yahudi yang diiktiraf ketika itu sebagai kafir zimmi telah menandatangani perjanjian dan tunduk dengan pemerintahan Islam seperti mana diperuntukkan di dalam Piagam Madinah.

Malah sebagai tokoh yang pernah menulis mengenai sirah junjungan besar Rasulullah, tidak mungkin Abdul Hadi tidak mengetahui segala peristiwa tersebut.

Merujuk kepada fasal 7 Perlembagaan Pas dinyatakan seperti berikut; "Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan Pas ialah kitabullah (al-Quran), sunnah Rasulullah serta Ijmak Ulama dan Qias yang terang dan nyata.''

Jika diikutkan Perlembagaan Pas itu, tidak boleh tidak Abdul Hadi wajib sama-sama berusaha menyatu padukan semula umat Islam di Malaysia yang kian berpecah akibat fahaman politik kerana perintah tersebut jelas disebut di dalam al-Quran dan hadis Nabi akhir zaman.

Ataupun Abdul Hadi enggan menerima arahan daripada Allah itu hingga sanggup membuat sindiran yang begitu sinis selepas Nasharudin melontarkan idea agenda penyatuan melalui landasan kerjasama antara UMNO dan Pas.

Walau apa pun respons Abdul Hadi itu jelas menunjukkan yang beliau lebih mementingkan persahabatan dengan rakan-rakan bukan saudara seagama di dalam DAP dan rakan-rakan yang pelbagai fahaman di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ingatlah, Abdul Hadi memikul beban yang cukup besar terhadap segala perbuatannya sama ada di dunia mahu pun ketika berada di hadapan Allah pada hari akhirat kerana beliau bukan setakat seorang pemimpin malah sebagai seorang ulama.

Berbalik kepada saranan Nasharudin, beliau yang ditemui dalam satu program di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kelmarin berkata, apa jua respons yang diterima termasuk Abdul Hadi tidak akan memutuskan semangatnya untuk meneruskan agenda itu.

"Sebagai seorang Melayu muslim ini merupakan perintah Allah yang wajib saya pikul dan kebetulan pula saya telah diberi platform untuk sama-sama kita berusaha menyatukan semula umat Islam selepas berlakunya perpecahan.

"Saya tidak akan berputus asa dan saya tidak akan berhenti daripada meneruskan agenda penyatuan ini. Lebih-lebih lagi saya menerima respons yang amat positif daripada rakan-rakan,'' ujarnya.

Katanya, berdasarkan daripada mesej-mesej yang diterimanya selepas ceramah di sebuah hotel di Menara Mara baru-baru ini, 90 peratus daripadanya amat menyokong kepada usaha penyatuan umat Melayu Islam melalui landasan kerjasama UMNO dan Pas.

Sementara itu seorang aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin dalam emelnya kepada penulis meminta kepimpinan Pas tidak terlalu angkuh dan sombong hingga memandang sepi kepada agenda perpaduan umat Islam.

Sedangkan agenda itu katanya merupakan mesej utama Rasulullah di dalam tiga peristiwa penting iaitu Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah, pembukaan kota Mekah dan wasiat Rasulullah di dalam Haji Wida'.

''Oleh itu umat Islam dan orang Melayu wajar menilai tentang pendirian Pas ini dan jika mereka tetap menolak agenda perpaduan betapa Islam yang mereka bawa itu hanyalah alat yang dipolitikkan semata-mata.

''Fahamilah dengan sebenar-benarnya bahawa risalah Islam yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah tidak pernah menolak dan menghalang agenda perpaduan'' katanya lagi.

Akhirnya, renungi dan hayatilah petikan ayat al-Quran dalam ayat 29 surah al-Fath; "Nabi Muhammad SAW ialah Rasulullah dan orang yang bersama dengan baginda bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).''

5 comments:

  • Anonymous says:
    May 17, 2013 at 2:56 PM

    Ulama diakhir zaman ini sering terlupa...... Demi mengejar kuasa dan kedudukan, ia telah terlupa apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w......... Hadi Awang, kembalilah ke pangkal jalan...... Engkau adalah orang yang ditakdirkan oleh Allah s.w.t untuk menjadi ulama bagi memandu umat Muhammad s.a.w ke jalan yang benar, tetapi engkau telah lupa apa yang engkau telah diamanahkan....... Hadi Awang, engkau mesti ingat sudah berapa ramai umat Islam di muka bumi Malaysia ini berpecah belah disebabkan amanat yang engkau telah sampaikan kepada mereka...... Engkau perlu bertanggungjawab diatas perpecahan yang telah berlaku ini......

  • Anonymous says:
    May 17, 2013 at 3:44 PM

    Salam Bro,biasalah jika manusia itu merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.Kita tunggu dan lihat,siapa akan lemas dulu samada PAS ataupun UMNO?

  • Ustaz Memali says:
    May 17, 2013 at 6:13 PM

    Besar azabnya nanti bila orang yang telah mengetahui sesuatu ilmu tapi disimpan olehnya atau tak diapplikasikan(Itu pun kalau tahulaakan...jangan tiket beli pulak sudahlaa...hehehehe

  • Anonymous says:
    May 17, 2013 at 6:58 PM

    Amanat Hj. Hadi mengkafirkan semua ahli2 UMNO, hinggakan Ibrahim Libya terkorban, Amanat yang sama juga mengkafirkan semua ahli2 PAS.

    Sekarang Hj. Hadi menolak perpaduan umat Islam dalam negara.

  • Anonymous says:
    May 20, 2013 at 12:19 PM

    Secara peribadi, aku menyokong usaha penyatuan umat Islam di Malaysia yang giat dijalankan sekarang. Aku berharap agar usaha ini ikhlas demi mencari redha Allah semata-mata dan tiada tujuan lain kerana apa-apa amalan yang dibuat selain kerana Allah adalah ditolak malahan dikategorikan syirik di sisi Allah.

    Memang banyak ayat Al Quran dan sunnah Rasullulah s.a.w yang menganjurkan perdamaian, kesatuan jemaah dan sifat kasih sayang sesama orang Islam.

    Aku terfikir bagaimana orang Islam yang beriman dan memiliki fikiran waras boleh menolak perpaduan sesama Islam. Maaf jika aku katakan bahawa mereka yang menolak perpaduan dan persaudaraan sesama Islam adalah golongan yang tidak mencintai Allah dan Rasullulah, malahan aku bimbang kata-kata cercaan dan nista mereka mendapat laknat Allah s.w.t.

    Agama Islam adalah hakmilik mutlak Allah dan kita sebagai hamba disuruh supaya melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan dalam Islam. Bunyinya mudah bukan tetapi sukar dilaksana kerana kita sebenarnya telah mempersekutukan Allah dalam politik, sosial, ekonomi dan negara. Kita buat bukan kerana Allah tetapi kerana takut tidak dapat sokongan bukan Islam, takut kalah dalam pilihanraya, takut tak dapat jadi PM dsb...wal'iazubillah!

    Semoga Allah s.w.t mengurniakan kita hidayah dan taufik untuk menjadi seorang mukmin yang sejati, Amin..

share2