KUANTAN - Kedatangan Ramadan sememangnya dinanti-nantikan oleh umat Islam dalam menggandakan ibadat mereka sekali gus memberi ruang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Selain berpuasa dan solat terawih, Ramadan juga menjadi lubuk menjana pendapatan apabila ramai peniaga muncul menjual pelbagai jenis makanan dan minuman di bazar-bazar yang disediakan.
Bagi pasangan adik-beradik, Nurazlilah Abdul Jalil, 26, dan Nurakhira, 23, berniaga di bazar Ramadan sememangnya dinantikan mereka.
Mereka menghasilkan sembilan jenis puding untuk dijual kepada pengunjung di bazar Ramadan Taman Kerang di sini.
Menurut Nurazlilah, kesemua puding yang dijual dihasilkannya sendiri.
"Tahun lalu, saya menjual makanan ini di Lembah Klang dan sambutan yang diterima amat baik.
"Bagaimanapun tahun ini, saya mengambil keputusan membuka gerai di bazar ini kerana bertugas di sini. Saya ambil cuti selama sebulan daripada majikan untuk menjual puding," katanya.
Nurazlilah yang tinggal di Taman Cenderawasih berkata, antara puding yang dijual ialah puding roti, puding vanila dan puding raja.
Katanya, kesemua puding tersebut dijual dengan harga antara RM3 hingga RM6.
0 comments:
Post a Comment