TEMERLOH - Sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menuba ikan di Sungai Semantan di sini menyebabkan 10 pengusaha ikan patin sangkar mengalami kerugian besar apabila ternakan mereka mati sejak dua bulan lalu.
Dianggarkan lebih 10 tan metrik ikan patin sangkar yang sepatutnya dijual sepanjang bulan Ramadan ini mati sekali gus mengakibatkan pengusaha terbabit mengalami kerugian kira-kira RM100,000.
Seorang penternak, Zainal Abidin Abdul Rahman, 45, berkata, sejak Jun lalu kegiatan menuba ikan dilakukan hampir setiap hari di sungai tersebut oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kegiatan itu dipercayai dilakukan pihak terbabit untuk menangkap ikan patin liar terutama patin buah dan muncung sehingga mengundang kerugian besar kepada penternak di situ.
"Terdapat lebih 400 sangkar ikan di dua kampung ini yang dimiliki lebih 10 pengusaha. Kami semua tanggung rugi sejak kebelakangan ini apabila kegiatan tersebut dilakukan tanpa memikirkan periuk nasi kami akan terjejas.
"Keadaan semakin teruk sekarang, pihak berkenaan semakin berani dan semakin kerap melakukan kegiatan haram itu sekali gus menyebabkan kami rugi," katanya di sini semalam.
Seorang lagi penternak, Amir Daud, 52, yang mengusahakan ternakan ikan sangkar sejak sembilan tahun lalu mengakui kejadian yang berlaku sekarang semakin teruk.
"Biasanya, saya memperoleh 800 kilogram ikan setiap sangkar tetapi sekarang nak dapat separuh pun susah. Sejak dua bulan lalu saya kerugian RM12,000 akibat kegiatan itu," katanya.
Bagi seorang penternak Cina yang mahu dikenali sebagai Lim, dia yang baru menceburi ternakan ikan sangkar sejak April lalu mempunyai rekod bulanan kematian ikan yang tinggi akibat kegiatan menuba.
Dalam pada itu, seorang lagi penternak, Ahmad Zaki Abdul Latif menggesa Jabatan Perikanan Pahang supaya lebih aktif dalam menyelesaikan kegiatan berkenaan di sungai itu.
Dia mencadangkan supaya diwujudkan depot kawalan oleh jabatan terbabit di Sungai Semantan dan Sungai Pahang bagi menangani kegiatan menuba ikan.
"Saya cadangkan mereka bina depot kawalan yang menempatkan penguat kuasa, bukan sepanjang masa tetapi cukup ketika musim air surut antara Jun hingga Oktober setiap tahun kerana waktu itulah kegiatan menuba ikan berleluasa.
"Bukan kami mempertikaikan hasil kerja mereka, tetapi ia adalah realiti kerana saya difahamkan Jabatan Perikanan Pahang tidak mempunyai cukup penguat kuasa untuk mengawal kegiatan haram ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment