Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 26, 2012

Pembangkang Hanya Mahu Mempolitikkan Isu Bantuan Rakyat


CAMERON HIGHLANDS - Kerajaan negeri menafikan dakwaan pembangkang bahawa bantuan kebajikan kepada golongan kurang berkemampuan hanya diberikan setiap kali tiba bulan Ramadan dan musim perayaan sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana kerajaan negeri sentiasa melaksanakannya tanpa mengira masa.

"Sebenarnya bantuan diberi bukan pada musim perayaan dan persekolahan sahaja. Kita berbuat demikian pada bila-bila masa dan saya sendiri tiap-tiap minggu turun ke kampung, Pos Orang Asli dan ladang untuk menghulurkan bantuan.

"Kita sentiasa luluskan bantuan termasuk projek kemudahan asas demi manfaat penduduk luar bandar. Kebetulan ada sedikit dana kerajaan, kita beri sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Inilah yang menzahirkan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional lebih adil," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan pengurusan dan moreh sempena Ramadan kepada pengerusi masjid dan surau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Sungai Koyan.

Pada majlis itu, Wan Rosdy menyampaikan bantuan pengurusan sebanyak RM17,000 kepada 17 pengerusi masjid manakala surau di DUN Jelai sebanyak RM1,000 masing-masing.

Pembangkang kata beliau, tidak sewajarnya mempertikaikan usaha kerajaan yang sentiasa melaksanakan tanggungjawab sosialnya.

"Banyak atau sedikit, bantuan akan diagihkan secara adil supaya mereka selesa dan ceria untuk berbelanja bagi keperluan harian, perubatan dan persekolahan termasuk setiap kali menjelang bulan Ramadan," jelasnya.

Sementara itu, Wan Rosdy turut meminta penduduk di DUN Jelai agar sentiasa mengimarahkan masjid dan surau untuk mewujudkan perpaduan yang berpanjangan.

"Jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan rumah ibadah berkenaan sentiasa diimarahkan menerusi program bertadarus, tarawih dan moreh dengan membabitkan lebih ramai golongan muda," katanya.

Katanya, masjid dan surau merupakan tempat perhimpunan ahli kariah serta medan pertemuan dengan pemimpin setempat untuk kegiatan dakwah selain melestarikan kebajikan penduduk.

0 comments:

share2