Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 21, 2012

Penyeludup Mercun Cedera Ditembak


KUALA LIPIS - Tiga penyeludup mercun bertindak nekad cuba merempuh seorang anggota polis berpangkat koperal dalam usaha melepaskan diri daripada ditahan.

Tindakan tiga lelaki itu yang menaiki kereta jenis Proton Wira cuba menghimpit motosikal yang ditunggang polis berkenaan beberapa kali menyebabkan anggota terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran.

Salah satu das tembakan dipercayai terkena bahagian bahu seorang penumpang kereta tersebut, namun ketika-tiga suspek berjaya melarikan diri.

Terima maklumat awal

KETUA Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum kejadian berlaku, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menerima maklumat awal kira-kira jam 10.15 pagi, terdapat sebuah lori berkepala putih dipercayai membawa bekalan dadah akan melalui daerah ini.

Menurutnya, dua anggota berpangkat koperal dari Cawangan Narkotik IPD Lipis kemudiannya diarah membuat pemerhatian di Pondok Polis Bantuan Kechau 8.

“Kira-kira jam 4.30 petang, sebuah lori tiga tan yang disyaki membawa bekalan dadah datang dari arah Felda Kechau menghala ke Kuala Lipis telah melalui pondok polis berkenaan.

“Anggota polis terbabit dengan dibantu beberapa polis bantuan telah menahan lori tersebut dan meminta pemandu lori bersama seorang kelindan turun untuk pemeriksaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, dalam masa sama sebuah kereta Wira yang dipandu seorang lelaki bersama dua penumpang dari arah Kuala Lipis berhenti di pondok polis berkenaan.

Menurutnya, salah seorang penumpang kemudiannya turun dan meminta anggota polis melepaskan lori tersebut.

“Anggota polis kemudiannya meminta lesen pemandu lori berkenaan, namun gagal diberikan, malah mereka juga tidak memberi alasan kukuh untuk terlepas daripada pemeriksaan tersebut.

“Salah seorang penumpang kereta kemudiannya memberi isyarat kepada pemandu serta kelindan lori supaya beredar dan mereka berjaya melarikan diri dengan kenderaan masing- masing,” katanya.

Dihimpit beberapa kali

ABDUL RAZAK berkata, melihat tindakan drastik pemandu lori dan kereta Wira yang cuba melarikan diri dari sekatan, seorang anggota polis berpangkat koperal telah mengejar dua kenderaan terbabit dengan motosikal.

Menurutnya, seorang lagi anggota polis bertindak meminta bantuan dari IPD Lipis untuk menahan lori dan kereta berkenaan.

“Anggota polis itu telah mengejar kenderaan suspek sejauh kira-kira 15 kilometer di Jalan Kuala Lipis- Jerantut dan sepanjang usaha mengejar itu, motosikal anggota terbabit telah dihimpit beberapa kali oleh kereta Wira dan nyaris mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Abdul Razak berkata, ketika sampai di Kampung Jeram Bungor, anggota polis itu bertindak melepaskan satu das tembakan ke udara sebagai tanda amaran selain meminta pemandu kereta dan lori itu berhenti.

“Bagaimanapun, pemandu kereta bertindak nekad dengan menghimpit anggota polis itu sekali lagi. Anggota polis itu kemudiannya melepaskan tembakan kedua ke arah tayar kereta berkenaan.

“Kita tidak pasti tembakan kedua itu terkena atau tidak tayar kereta tersebut, namun kedua-dua kenderaan terbabit hilang dari pandangan,” katanya.

Lori tersekat dalam lumpur

ABDUL RAZAK berkata, kira-kira jam 9.45 malam, anggota polis dari Balai Polis Kerambit menerima maklumat orang awam mengenai sebuah lori yang tersekat dalam lumpur di kebun getah di Kampung Jeram Landak.


Menurutnya, bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Cawangan Narkotik IPD Lipis ke tempat dinyatakan untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 83 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis. Bagaimanapun pemandu dan kelindan lori itu berjaya melarikan diri. Kita percaya mercun dan bunga api tersebut diseludup dari negara jiran untuk pasaran luar,” katanya.

Seorang suspek cedera

ABDUL RAZAK berkata, kira-kira jam 12.45 tengah malam, pihak IPD Lipis menerima maklumat daripada IPD Pasir Mas, Kelantan, mengenai seorang lelaki berusia 49 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas dipercayai terkena tembakan di bahagian bahu kanan.

"Kira-kira jam 2.15 pagi, pegawai polis dari IPD Pasir Mas telah menahan tiga lelaki di Hospital Pasir Mas.

“Suspek masing-masing berusia 49, 33, dan 26 tahun itu berasal dari Pasir Mas dan kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Abdul Razak berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari dan polis sedang mengumpul maklumat bagi mengesan dua lagi suspek yang juga pemandu dan kelindan lori yang berjaya melarikan diri. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan sebatan.

0 comments:

share2