Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 24, 2011

Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Aidilfitri


Beberapa agensi kerajaan akan memperhebatkan kempen keselamatan jalan raya menjelang Aidilfitri tidak lama lagi dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, kempen itu akan melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

"Hanya dengan kempen kesedaran yang dijalankan oleh kedua-dua agensi itu di samping penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan kematian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pandu dan Tunggang Dengan Selamat anjuran JKJR Pahang di sekatan antara Jalan Kuala Lipis ke Merapoh, berdekatan Kechau Tui, dekat sini semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani, Ketua Polis Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan dan Timbalan Pengarah JKJR Pahang, Wan Musa Wan Kadir.

Sempena kempen tersebut, beliau mengagihkan 300 bekas berisi makanan, risalah dan pelekat keselamatan dan lima topi keledar kepada pengguna jalan raya yang berhenti di laluan tersebut.

Abdul Rahman berkata, JKJR negeri akan terus memperhebat kempen kesedaran kepada semua pengguna jalan raya di samping penguatkuasaan JPJ dan polis di beberapa lokasi panas di negeri ini.

Tambahnya, kempen kesedaran itu akan menjadi sia-sia jika sikap pengguna atau pemandu masih di takuk lama.

"Justeru, pelbagai pendekatan dilaksanakan untuk menyedarkan pengguna jalan raya tentang semua aspek berhubung keselamatan ketika memandu dan menunggang bagi mengelakkan sebarang tragedi," katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, sejumlah 29 kematian membabitkan 22 kes kemalangan maut dilaporkan antara Januari hingga Ogos tahun ini di daerah Lipis. Katanya, pada tahun lalu sahaja sebanyak 23 kes kemalangan maut dilaporkan membabitkan 30 orang.

''Dua lokasi panas melibatkan kemalangan maut ialah di Kilometer 22, Jalan Lipis ke Merapoh, berdekatan Ladang Selborne dan Kilometer 23 Jalan Lipis ke Benta,".

0 comments:

share2