Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 28, 2011

MUIP Sumbang RM80,000 Bantu Pesakit

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak RM80,000 kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk membantu pesakit kurang berkemampuan mendapatkan rawatan.

MUIP turut menyumbang sebanyak RM90,000 bagi tujuan pengubahsuaian balai pelawat HTAA untuk keselesaan pengunjung.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pesakit kurang berkemampuan sepanjang mendapat rawatan di HTAA.

"Sumbangan ini juga dapat menyedarkan orang ramai, pesakit dan keluarga bahawa mereka tidak bersendirian selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai MUIP dan warga HTAA. Bantuan ini juga diberikan kepada semua kaum dan agama. Kita tidak mengira siapa mereka asalkan mereka benar-benar memerlukannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena program Ziarah Prihatin Pesakit HTAA di sini, hari ini.

Pada program tersebut, MUIP turut memberi hamper dan wang tunai sebanyak RM100 kepada 120 pesakit. Sementara itu, Timbalan Pengarah Perubatan HTAA, Dr. Ahamad Shukri Che Hussin berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan sumbangan itu bagi membantu golongan miskin mendapatkan rawatan.

"Bantuan yang dihulurkan MUIP wajar dijadikan teladan kepada semua pihak sama ada individu, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat dalam membantu pesakit miskin," katanya.

Menurut Ahamad Shukri, mengikut perangkaan bermula bulan Januari hingga Mei lalu, seramai 474 pesakit menerima sumbangan sebanyak RM66,042.

Bagi menggalakkan pegawai dan kakitangan Islam di HTAA membayar zakat pula, katanya, pihak pengurusan hospital telah mendapatkan kerjasama Pusat Kutipan Zakat Pahang dengan membuka kaunter pendaftaran dan pembayaran di lobi HTAA.

1 comments:

  • Wake UP! says:
    June 28, 2011 at 3:12 PM

    Salam. Syabas MUIP! Teruskan usahamu membantu saudara seagama.

share2