“Setiap hari, setiap kali bangun pagi, dia akan mula merengek bertanyakan sama ada dia sudah boleh ke sekolah atau belum,” cerita Fatimah Mat Min, 60, penjaga kanak-kanak yang dikenali sebagai Adam Daniel, 9,
Menurutnya, Adam tidak memiliki sijil kelahiran sejak dilahirkan menyebabkan dia tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak sebayanya.
Fatimah berkata, jauh di lubuk hati Adam, dia ingin menjadi seperti kanak-kanak lain yang sudah pandai membaca dan mengira dalam usianya itu.
“Adam tidak pernah mengenali ibu bapa kandungnya kerana dia diserahkan kepada arwah suami selepas beberapa hari dilahirkan, malah lebih malang kami sendiri langsung tidak mengetahui ibu bapanya itu.
“Namun Adam masih bernasib baik kerana dapat menumpang kasih dengan kami (keluarga angkat) yang memeliharanya sejak kecil malah saya sudah anggap dia seperti darah daging sendiri walaupun kehidupan kami dihimpit kemiskinan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah anaknya, di Kampung Alor Ladang, Beserah, di sini, semalam.
Fatimah berkata, Adam diserahkan kepada arwah suaminya, Yasok Awang oleh ibu kandung kanak-kanak itu di pekarangan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) ketika dia dipercayai baru beberapa hari dilahirkan.
“Melalui cerita arwah suami, ibu kepada kanak-kanak itu kenalannya dan berjanji akan ambil semula Adam selepas dua bulan kerana mereka ada urusan di Johor Bahru.
“Namun, sehingga kini, wanita terbabit tidak pernah muncul untuk ambil semula anaknya malah kami sekeluarga termasuk arwah suami tidak tahun atau mempunyai maklumat siapa sebenarnya ibu bapa Adam,” katanya.
Dia berkata, sebelum arwah suaminya meninggal dunia, dia sempat berpesan supaya menjaga Adam seperti cucu sendiri dan tidak menyerahkannya kepada orang lain walau dalam apa keadaan sekali pun.
Katanya, dia sekeluarga tidak pernah merasa terbeban untuk terus memelihara dan menjaga Adam walaupun dalam keadaan serba kekurangan kerana kanak-kanak itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
“Memandangkan sudah menjaganya sejak dilahirkan, saya tak kisah malah rasa sedih jika berpisah dengan Adam.
“Saya susah hati memikirkan masa depan Adam memandangkan tak ada sijil lahir dan kad pengenalan,” katanya.
Fatimah berkata, disebabkan masalah itu, Adam bukan saja tidak dapat bersekolah malah bakal berdepan pelbagai kesulitan terutama membabitkan urusan rasmi atau mendapatkan perkhidmatan di klinik dan pejabat kerajaan.
“Kami berharap agar ada pihak yang dapat bantu Adam mendapatkan pengenalan diri seterusnya mendaftarkan dia ke sekolah untuk belajar seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Menurutnya, sudah bertahun dia dan anaknya cuba untuk mendapatkan sijil kelahiran Adam menerusi beberapa pihak namun gagal.
“Ada yang ingin membantu tetapi kebanyakan meminta bayaran yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM600. Saya memang tak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu.
“Saya kasihan melihatnya yang ingin belajar di sekolah kerana itu saya berharap sangat agar tahun depan Adam sudah boleh ke sekolah seperti kanak-kanak lain,” katanya.
0 comments:
Post a Comment