Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 12, 2016

[JENGKA] DIANGGAP KEJADIAN TERBURUK


Dianggap kejadian terburuk


Sekurang-kurangnya 39 premis termasuk rumah penduduk, sekolah, rumah kedai dan pejabat Felda di Felda Jengka 6, di sini, rosak dilanda ribut, petang kelmarin.

Penduduk, Zaini Ibrahim, 34, berkata, kejadian di antara jam 5 petang hingga 7 malam itu paling terburuk pernah berlaku dan melibatkan kerosakan banyak rumah.

“Selain rumah dan sekolah, jalan raya turut terjejas ditimpa pokok tumbang. Rumah bapa saya di blok 1 juga rosak apabila bumbung dan dinding tercabut diterbangkan angin dengan kerugian dianggarkan RM3,000.

“Kebanyakan penduduk pula masih bercuti raya dan ramai yang masih berada kampung masing-masing. Tapi, difahamkan ramai yang kembali ke Jengka selepas dapat tahu tentang kejadian ini untuk melihat keadaan rumah mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Noraini Abd Razak, 37, berkata, ia kejadian ribut luar biasa pernah dan tidak pernah dialaminya selama lebih 15 tahun dia menetap di Jengka 6.

Dia yang mengalami kemalangan kecil akibat kejadian itu bagaimanapun bersyukur kerana keluarganya selamat dan rumah tidak terjejas.

“Syukur keluarga saya selamat tapi rumah jiran sebelah rosak teruk sebab pokok tumbang timpa bahagian dapur. Saya nampak kejadian tu macam puting beliung,” katanya.

Ahmad Talha Sulaiman, 44, pula berkata, ia kali pertama mereka berdepan kejadian ribut kuat sejak menetap di situ 40 tahun lalu.

Menceritakan detik cemas itu katanya, dia menyaksikan sendiri keadaan menjadi agak kelam kabut apabila bumbung dan dinding rumah jiran terbang dan tercabut serta ada yang rosak ditimpa pokok tumbang.

“Ketika kejadian, saya berdiri depan pintu bersama isteri dan anak-anak. Kami hanya mampu zikir dan berdoa memohon perlindungan daripada ALLAH SWT,” katanya.


0 comments:

share2