Seremban – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian perumpamaan menggambarkan ketabahan seorang ibu yang menghidapi penyakit buah pinggang kronik, mempunyai masalah buta mata sebelah kiri serta penglihatan mata kanan terbatas.
Ruhani Mohamad, 41 yang mempunyai tiga anak berkata, selain kedua-dua buah pinggangnya rosak serta hanya mampu melihat lingkungan 30 peratus sahaja, dia turut mempunyai masalah jantung dan paru-paru dijangkiti kuman.
"Setiap hari akak kena cuci air buah pinggang, akak kena peruntukkan masa 20 jam sehari untuk cuci air sejak bulan April lalu.
"Rutin akak setiap hari cuci buah pinggang setiap pukul 7 pagi, 11 pagi, 3 petang, 7 malam dan 11 malam.
"Setiap kali cuci air, makan masa empat jam. Kemudian boleh berehat satu jam sahaja sebelum cuci air semula," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Tok Dagang, Paroi, di sini kelmarin.
Menurutnya, penyakit buah pinggang yang dihadapinya sejak tahun 2006 itu semakin melarat apabila dia perlu mencucinya lima kali sehari berbanding empat kali sebelum ini.
Ruhani berkata, suaminya, Rofizan Abdul Rafar, 37, banyak membantu dirinya menguruskan keluarga dan tiga anak-anaknya, Mohd Asyraf,19, Mohd Awangku Rizuan, 17, dan Nurul Ayuwati, 16.
“Suami banyak bantu saya dan anak-anak. Dia bantu uruskan saya cuci buah pinggang dan setiap hari dia masak dan kemas rumah.
“Alhamdulillah, akak bersyukur sangat-sangat ada suami dan anak-anak yang baik.
"Walaupun akak tak mampu tunaikan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, mereka sangat memahami dan membantu kak dalam semua perkara,” katanya.
Katanya, dia sekeluarga bergantung hidup pada pendapatan suami yang bekerja mekanik membaiki kereta dengan anggaran pendapatan bulanan sebanyak RM900 sebulan.
“Dulu suami kerja tukang kebun sekolah tetapi terpaksa berhenti kerana komitmen menjaga saya. Jadi, suami bekerja di rumah sahaja dengan membaiki kereta orang.
“Gaji suami pun tidak tentu, kalau ada kereta masuk adalah gaji suami, kalau tak ada kereta masuk, tiadalah gaji bulan itu.
“Mujur kos rawatan saya ditanggung Socso dan duit belanja guna duit bantuan baitulmal sebanyak RM200 sebulan.
"Itu pun masih tidak cukup kerana dua anak akak masih sekolah,” katanya.
Ruhani berkata, dia turut berterima kasih Karihome dan pihak Karangkraf yang memberi bantuan barangan keperluan dapur dan wang bagi meringankan bebannya sekeluarga.
0 comments:
Post a Comment