Lima keluarga di Kampung Paya Garok di sini, tidak dapat tidur lena apabila sekumpulan gajah liar dikesan berkeliaran di ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka sejak seminggu Ramadan lalu.
Penduduk yang juga pemilik ladang terbabit, Mohd Tarmizi Samsudin, 47, berkata, pada awalnya mereka menyangka kumpulan gajah liar itu hanya datang sekejap seperti tahun sebelumnya.
Bagaimanapun menurutnya, sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, kumpulan gajah liar itu semakin kerap berkeliaran di ladang berkenaan.
"Boleh dikatakan sejak malam raya lalu, selang satu malam kumpulan gajah ni berkeliaran di kawasan ladang.
"Gajah-gajah ni juga buat bising macam panggil kumpulan gajah lain. Bunyi bising tu yang buat kami tak dapat tidur lena," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Paya Garok di sini.
Menurutnya, kumpulan gajah yang memusnahkan tanaman sawit yang sedang mengeluarkan hasil itu juga dikhuatiri mengancam nyawa penduduk yang tinggal berhampiran.
"Setakat ni, lima pokok sawit yang tengah keluarkan buah musnah. Kalau hendak kira rugi tak payah cakaplah sebab banyak anak pokok sawit yang dimusnahkan.
"Apa yang lebih dibimbangkan, keselamatan keluarga kami. tak mustahil gajah-gajah ni akan datang ke kawasan rumah kalau makanan di ladang dah habis," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Radzuan Salehudin, 37, berkata, kumpulan gajah berkenaan kebiasaannya datang dan mula berkeliaran selepas Maghrib sehingga tengah malam.
"Orang lelaki di kampung ni kebanyakannya kerja pada sebelah malam, jadi memang kami risau nak tinggalkan keluarga untuk pergi bekerja.
"Risau juga gajah-gajah ni ancam keluarga kami," katanya.
Menurutnya, pelbagai cara dilakukan untuk menghalau kumpulan gajah berkenaan bagaimanapun usaha itu seperti gagal.
"Kami dah buat macam-macam ikut nasihat pihak berwajib... kami baling mercun, bakar tayar dan sebagainya sebab tak nak gajah-gajah tu datang sini.
"Tapi nampaknya macam tak berjaya sebab gajah tu beredar sekejap saja dan akan datang balik pada esok atau lusanya," katanya.
Sementara itu, Penduduk Orang Asli Kampung Machang, Sani Alwi, 19, berkata, gajah liar itu datang dari Hutan Simpanan Hulu Tembeling sejak April tahun ini dan menjadikan kawasan belukar di pinggir kampung mereka sebagai tempat persembunyian sebelum masuk ke kebun getah dan sawit pada sebelah malam.
"Kami menanggung kerugian sehingga ini setelah sebanyak 120 batang pokok getah muda turut dimusnahkan haiwan ni.
"Gajah liar ni kerap juga tidur atas jalan tanah merah ke kampung ni... buang najis rata-rata," katanya.
Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris semalam, meninjau ke Kampung Paya Garok yang menjadi tumpuan kumpulan gajah liar terbabit.
Menurutnya, masalah itu tidak hanya membabitkan lima keluarga ini, malah kira-kira 250 penduduk Kampung Paya Garok dari 45 rumah turut terdedah ancaman gangguan gajah liar terbabit.
Katanya, selain Kampung Paya Garok, turut terkena tempias ialah pekampungan Orang Asli Macang yang terletak kira-kira empat kilometer jauh lebih dalam.
’Saya merayu pihak berkuasa dapat memindahkan gajah yang telah banyak kali mengganggu penduduk sekitar. Jangan tunggu sehingga ada nyawa yang terancam.
"Saya harap dan merayu pihak terlibat bantulah sesegera mungkin, saya tahu kos tinggi, namun nyawa penduduk jauh lebih berharga," katanya.
0 comments:
Post a Comment