Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 12, 2016

WARGA EMAS CEKAL JAGA ANAK OKU


Warga emas cekal jaga anak OKU


Rembau – Walaupun usia sudah mencecah 82 tahun, namun kudrat ibu tua ini tidak pernah luntur demi menjaga anak ketiganya, Hamidah Lazim, 47, yang disahkan terencat akal sejak kecil lagi.

Mahayo Abu berkata, setiap kali selesai menunaikan solat, dia pasti tidak akan lupa memohon pada Allah agar dia diberikan kesihatan yang baik supaya mampu melayan anak syurganya yang sudah berusia, namun kelakuan anaknya itu diibaratkan seperti kanak-kanak.

Menurutnya, ada masanya dia menitiskan air mata apabila mengenangkan nasib anak ketiganya itu sesudah dia tiada lagi memandangkan kasih serta penjagaan seorang ibu buat anak sememangnya tidak dapat ditukar ganti.

“Anak takkan tak sayang, inikan pula anak tak cukup akal macam ni. Ada ustaz, ustazah datang kata Wan jaga anak syurga, anak ni tiada dosa, meninggal masuk syurga. Wan pun ada peluang masuk syurga kalau jaga betul-betul anak macam ni.

“Wan tak kisah siang malam layan kehendak anak Wan ni walau pun dah tua. Dah tak larat, tapi Wan tetap cuba penuhi apa saja diminta,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu, di sini, semalam.

Mahayo berkata, tidak pernah terdetik sedikit pun di hatinya untuk menghantar anaknya itu ke rumah kebajikan walaupun kadang-kala tingkah laku anaknya itu mengundang rasa kurang senangnya.

Menurutnya, pernah juga dia meluahkan isi hati serta kebimbangannya pada anak-anaknya yang lain nasib anak ketiganya itu apabila dia sudah tiada lagi dan berharap anak-anaknya akan dapat menjaga adik mereka dengan baik.

“Anak Wan cakap, mak jangan risau, tahulah macam mana nak jaga nanti. Tapi Wan tetap risau sebab kasih sayang mak tak sama dengan adik-beradik. Mak ni kalau tak makan pun tak apa asal anak-anak makan," katanya.

Menurutnya, lebih-lebih lagi, anak ketiganya itu seperti kanak-kanak dan sekiranya sudah selesai makan atau minum, anaknya itu akan mencampakkan bekas makanan ke atas lantai.

“Wan lah yang akan kutip. Dulu-dulu Wan bagi pinggan kaca, tak larat Wan nak kutip pinggan pecah, Wan tukar bagi pinggan dan cawan plastik," katanya.

Mahayo berkata, kini mereka dua beranak bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM300 sebulan dan bantuan Baitulmal yang baru diterima tiga bulan lalu sebanyak RM200 sebulan.


0 comments:

share2