Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 7, 2016

KIOSK PAMER SIJIL HALAL MERAGUKAN


Kiosk pamer sijil halal meragukan


Seri Iskandar – Sebuah kiosk roti bukan sahaja disita sijil halal malah pekerjanya berusia 18 tahun turut diberikan notis dalam Op Catut Menangani Kos Sara Hidup di sekitar bandar berkenaan di sini, semalam.

Op bersepadu yang berlangsung selama tiga jam itu mendapati kiosk berkenaan mempamerkan salinan sijil halal yang boleh meragukan pengguna selain pekerjanya yang bertindak sebagai pengendali makanan tidak mendapat suntikan vaksin.

Dua notis dikeluarkan mengikut Perkara 11(1)(b) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu membenarkan pengendali makanan yang tidak menjalani latihan pengendalian makanan dan suntikan vaksin bekerja di premis makanan serta sitaan sijil halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Pada masa sama, sebuah pasar raya turut dikenakan Notis Seksyen 21Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mendapatkan penjelasan terhadap kenaikan harga sardin dalam tin.

Operasi berkenaan yang diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) turut disertai 11 agensi lain antaranya Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Jabatan Imigresen Negeri, Jabatan Kesihatan, Kastam Diraja Malaysia, PDRM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membabitkan 110 pegawai dan anggota.

Pengarah KPDNKK negeri, Meor Ismail Meor Akim berkata, sebanyak 47 premis diperiksa dan dua lelaki warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“KPDNKK berjaya menghasilkan kompaun sejumlah RM2,900 membabitkan 11 tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“MDPT pula mengenakan kompaun RM250 terhadap 13 kesalahan gagal pamer lesen dan mengeluarkan empat notis kebersihan. SSM pula berjaya mengesan dua premis gagal mempamerkan nombor pendaftaran dan lima kesalahan gagal daftar alamat cawangan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, Fama turut menyita dua premis buah-buahan dan sayur-sayuran kerana tidak mematuhi Peraturan Gred, Pembungkusan dan Pelabelan.

“Jabatan Kesihatan mengenakan kompaun sejumlah RM2,000 terhadap tiga kesalahan yang berjaya dikesan manakala Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengeluarkan beberapa notis amaran supaya peniaga memohon lesen menjual ikan,” katanya.

Meor Ismail berkata, operasi ini memberi penekanan penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang berkaitan isu berlaku kenaikan harga dan implikasi kepada kos sara hidup.

“Operasi dijalankan di kawasan ini kerana kepadatan penduduk yang terdiri daripada penjawat awam dan swasta serta pelajar yang menjadi sasaran peniaga dalam kenaikan kos serta kenaikan keuntungan harga barang yang tidak munasabah.

“Sebuah kompleks tumpuan orang ramai dilihat mempunyai pelbagai kesalahan yang berjaya dikesan. Pembabitan agensi terlibat dapat mengambil tindakan segera terhadap premis terbabit,” katanya.

Meor Ismail berkata, operasi bersama dengan agensi lain secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) akan dilakukan secara berterusan di kawasan tumpuan lain.


0 comments:

share2