Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 14, 2017

[KUANTAN] MANGSA KEBAKARAN DAPAT PERHATIAN


Mangsa kebakaran dapat perhatian


Sebuah keluarga dari Kampung Jaya Gading yang terlibat kebakaran sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri mendapat perhatian Adun Pulau Manis, Dato' Khairuddin Mahmud.

Khairuddin berkata, kediaman pesara tentera Hussin Ibrahim, 60, dan isteri, Sharifah Abdullah, 54, musnah akibat musibah itu pada 24 Jun lalu.

“Saya bersimpati di atas apa yang terjadi kepada keluarga ini. Saya harap semoga mereka tabah hadapi ujian ALLAH.

“Saya juga ada memaklumkan kepada Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob mengenai perkara ini bagi tindakan selanjutnya daripada kerajaan negeri khususnya untuk bantuan baik pulih rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika kunjungan ke kampung berkenaan.

Dalam kunjungan itu Khairuddin turut menyampaikan sumbangan berupa televisyen, peti sejuk, periuk nasi dan dapur gas.

Selain itu, katanya, Yayasan Rahah juga bersetuju menyumbangkan RM2,000 bagi menampung perbelanjaan keluarga berkenaan.

Sementara itu, Hussin berkata, sewaktu kejadian, dia dan ahli keluarganya berada di Pasir Mas, Kelantan bagi menyambut Syawal di rumah anaknya.

Bagaimanapun, menurutnya, setelah mendapat panggilan telefon berhubung kejadian tersebut, dia dan isteri terus bergegas pulang ke Kuantan untuk melihat keadaan rumahnya itu.

“Bila sampai, saya lihat semua kelengkapan dalam rumah musnah termasuk tiga motosikal. Kuih raya yang dibeli oleh anak-anak juga musnah. Saya hanya mampu lihat kesan daripada kebakaran tu saja.

“Rumah ini dah 37 tahun saya tinggal, tetapi apakan daya semuanya musnah sekelip mata,” katanya ketika ditemui di Jaya Gading, di sini.

Hussin dan isterinya kini terpaksa menumpang di rumah jirannya yang terletak berdekatan dengan kediamannya yang musnah buat sementara waktu.

Jelasnya, walaupun masih sedih kerana tidak dapat menyambut hari lebaran di kediaman sendiri, namun dia berterima kasih kepada penduduk kampung kerana banyak membantu.

“Tak terbalas jasa, penduduk di sini bukan saja bantu bersihkan kawasan rumah terbakar, tapi mereka juga beri kuih raya kepada kami.

“Keprihatinan mereka buat saya tersentuh dan rasa bertuah sangat sebab dikelilingi orang-orang yang baik,” katanya.

Bapa kepada tujuh anak itu memaklumkan, dia berhasrat untuk membina semula kediamannya yang terbakar itu dengan bantuan penduduk kampung di situ.


0 comments:

share2