Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 14, 2017

[KUANTAN] PETANI RUGI TERIMA WANG IHSAN


Petani rugi terima wang ihsan


Musim kemarau yang melanda tahun lalu menyebabkan petani yang terlibat dengan penanaman sayur terjejas dan mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

Prihatin terhadap nasib petani, kerajaan negeri menyalurkan wang ihsan bernilai RM500 kepada 61 petani di daerah ini.

Petani yang ditemui, Mohd Yusli Abdul Hamid, 32, berkata, kebun sayurnya seluas 12 hektar mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit pada musim kemarau yang lalu.

Menurutnya, kemarau yang berpanjangan selama dua bulan itu membuatkan dia terpaksa reda melihat tanamannya mati akibat kekurangan air.

“Pada ketika itu, saya tanam kacang panjang dan timun tetapi kerana kekurangan air, saya terpaksa biarkan semua sayur mati.

“Anggaran kerugian mencecah lebih RM80,000 kerana bekalan sayur tidak dapat diedarkan kepada pemborong,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Musim Kemarau daerah Kuantan anjuran Pejabat Pertanian Kuantan, semalam.

Hadir menyampaikan bantuan adalah, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Dato' Shafik Fauzan Sharif.

Turut hadir, Pegawai Pertanian Kuantan, Amir Dzulfadli Samad.

Mohd Yusli yang mengusahakan kebun sayur di Kampung Pahang berkata, hampir 80 peratus sayuran yang ditanam di kebunnya dipasarkan ke Pasar Borong Selayang manakala selebihnya di Pasar Borong Kuantan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan nasib kami,” katanya.

Situasi sama turut dialami Syafiqa Ali Mohd, 27, dan suami Rizal Abu Salam, 37, sehingga terpaksa mengorek kolam bawah tanah bagi mendapatkan aliran air.

“Saya terpaksa tanam sayur hanya 0.8 hektar daripada luas keseluruhan kerana bimbang akan rugi lebih banyak.

“Nasib baik musim kemarau sudah berakhir dan sekarang tanaman sudah kembali seperti biasa,” katanya.


0 comments:

share2