Kuala Lumpur - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Cabutan WOW! 20 Tahun kepada semua pendeposit yang membuat pembukaan akaun atau penambahan simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional.
Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelaksanaan tersebut merangkumi cabutan bulanan dan cabutan istimewa yang diadakan bersempena ulang tahun ke-20 penubuhan PTPTN.
“Selain itu, inisiatif ini juga sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada rakyat negara ini yang menyimpan dengan PTPTN,” katanya selepas Majlis Mesra Bersama Pelanggan dan Pelancaran Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. Mengulas lanjut pelancaran tersebut, Shamsul berkata, PTPTN menawarkan lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 buat pendeposit bertuah.
Menurutnya, dengan tawaran hadiah menarik disediakan itu, pihaknya turut menyarankan masyarakat supaya rebut peluang tersebut dengan membuka akaun atau menambah simpanan di dalam SSPN-i dan SSPN-i Plus.
“Mereka perlu rebut peluang ini dengan buka akaun simpanan atau tambah simpanan mereka,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, fungsi PTPTN bukan hanya sekadar memberi pinjaman semata-mata, malah sebagai institusi penabungan pendidikan utama di negara ini.
Menurutnya, usaha proaktif PTPTN dalam mentransformasikan minda masyarakat bagi membuat penabungan adalah satu tindakan baik dan perlu disambut oleh seluruh rakyat negara ini.
“PTPTN tidak seharusnya dilihat sebagai pemberi pinjaman dan pengutip hutang semata-mata, tapi sebaliknya sebagai tabungan pendidikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, penabungan bagi tujuan pendidikan amat penting bagi memastikan cita-cita anak muda tercapai.
Menurutnya, penabungan juga perlu dirancang dan dimulakan seawal usia bagi memastikan pulangan lebih tinggi dan menguntungkan.
“Kerajaan sedar kepentingan budaya dan amalan menabung untuk pendidikan tinggi bagi menggelakkan keciciran anak-anak.
“Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mengumumkan bahawa kerajaan menyediakan pemberian Insentif Khas Geran Sepadan bagi simpanan terkumpul sehingga RM50 dalam akaun SSPN-i/SSPN-i Plus kepada murid tahun satu sekolah bantuan penuh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, bermula 1 Januari tahun ini, mana-mana ibu bapa atau penjaga yang buat simpanan untuk anak mereka, yang merupakan murid tahun satu akan menerima tambahan keistimewaan iaitu simpanan percuma bernilai RM50.
Bagi tujuan itu, Shamsul Anuar menjelaskan peruntukan sebanyak RM25 juta telah disediakan untuk diberikan secara percuma kepada mereka yang layak.
“Sehingga 30 Jun lalu, 3.7 peratus murid tahun satu telah menerima simpanan percuma ini,” katanya.
Pada majlis itu, 13 pendeposit bertuah dan 2 pemenang Anugerah Ejen Online telah menerima hadiah istimewa yang disampaikan sendiri oleh Shamsul Anuar.
0 comments:
Post a Comment