Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 14, 2017

JANGAN MUSNAHKAN MASA DEPAN ANAK


anak


Jika minggu lepas saya menulis mengenai persediaan melayari bahtera perkahwinan pada minggu ini pula saya akan menukilkan sekiranya bahtera perkahwinan yang dikemudikan karam di tengah lautan, apakah persediaan yang perlu dilakukan khususnya apabila ia melibatkan anak-anak kecil.

Banyak rakaman yang tular mengisahkan perebutan anak-anak disiarkan di media sosial dan arus perdana yang menunjukkan sikap ego dan baran kedua belah pihak dalam menangani isu penjagaan dan lawatan anak ini.

Malah acap kali kita membaca di dada akhbar berita disensasikan pertikaian di mahkamah syariah ataupun di luar mahkamah syariah apabila pasangan bercerai. Sering kali perebutan anak menjadi isu utama yang hangat diperkatakan. Anak-anak ini seolah-olah menjadi komoditi bagi ibu bapa yang bercerai atau diambang perceraian.

Tidak kurang juga anak-anak dijadikan alat untuk membalas dendam antara satu sama lain.

Sebenarnya secara umumnya mengikut hukum syarak walaupun sesiapa yang mendapat hak jagaan anak, pihak yang tidak mendapat hak jagaan berhak melawat anak-anak mengikut kesesuaian anak-anak tersebut.

Ini adalah kerana kebajikan anak tersebut mendapat kasih sayang kedua ibu dan bapa amat dipentingkan. Itulah sebabnya jika bapa tidak mendapat hak jagaan anaknya, bapa tersebut masih perlu membayar nafkah anaknya.

Sebagai seorang peguam syarie saya telah melihat ramai bapa yang dipenjarakan oleh mahkamah syariah kerana gagal membayar nafkah anak mereka. Malah tidak kurang juga ibu yang dipenjarakan kerana enggan memberikan hak kepada bapa menziarahi anak tanpa sebab yang munasabah. 

Sekiranya suami dan isteri bercerai hanya mereka sahaja yang bercerai. Hubungan anak dengan bapa atau ibu mereka masih tidak putus walaupun sampai ke akhirat nanti.

Oleh itu jangan sekali-kali mencipta alasan dengan tujuan tidak membenarkan bapa atau ibu menziarahi dan merapatkan hubungan dengan anak-anak. Bawalah berbincang bersama agar kebajikan anak tersebut akan dapat dibela walaupun ibu bapa mereka bercerai.

Pasangan yang bercerai perlu menyediakan minda positif dalam menghadapi perceraian. Walaupun rumah tangga mereka sudah tidak dapat diselamatkan lagi janganlah ada dendam di antara mereka.

Jika mereka benar-benar sayangkan anak-anak mereka maka berusahalah berbincang dan memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Walaupun mereka sudah bercerai mereka masih boleh menjadi kawan dengan menyantuni batas-batas yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.

Hukum syarak telah mengaturkan dengan baik hubungan ibu bapa dengan anak-anak selepas kedua ibu bapa bercerai. Ibu pada lazimnya diberikan keutamaan mendapat hak jagaan anak manakala bapa masih menanggung nafkah anak. Dengan cara ini hubungan keduanya berkekalan.

Namun begitu, jika si ibu umpamanya menghalang bapa menziarahi anak tanpa sebab yang munasabah ataupun mempengaruhi anak agar enggan berjumpa dengan bapa mereka sudah pasti bapa tersebut bertindak balas tidak mahu memberikan nafkah kepada anak-anaknya. Akhirnya kebajikan anak tersebut akan dinafikan kerana kedegilan ibu bapa mereka.

Sebagai seorang peguam syarie juga saya amat memahami penderitaan seorang wanita yang diceraikan khususnya bagi mereka yang diceraikan tanpa sebab munasabah.

Namun wanita tersebut mempunyai remedi yang dibenarkan mengikut undang-undang untuk menuntut di mahkamah syariah. Walau bagaimanapun, anak kecil yang kadang-kadang masih belum mumaiyiz lagi tiada tahu hak mereka di sisi undang-undang. Anak-anak kecil ini hanya bergantung harap ihsan kedua ibu bapa mereka. 

Sebagai ibu yang biasanya diberikan hak jagaan anak dan bertanggungjawab membentuk peribadi mulia anak-anak, seharuslah ibu tersebut mengambil langkah bijak memberi perspektif positif kepada anak-anak mereka terhadap perceraian yang dilalui ibu bapa mereka.

Saya perhatikan amat jarang perkara sebegini berlaku. Sering kali anak-anak menjadi mangsa persengketaan ibu bapa.

Oleh itu kedua ibu bapa mesti berperanan memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka bukan menjadikan anak mereka sebagai alat membalas dendam. Bayangkanlah gambar atau video yang ditularkan itu disebarkan sehingga anak-anak ini membesar.

Sudah pasti anak-anak ini akan berasa malu dengan masalah yang dihadapi itu dan boleh juga mendatangkan trauma kepada mereka.

Ingatlah anak-anak adalah pemimpin masa hadapan. Sekiranya sedari kecil mereka menghadapi pelbagai masalah sudah pasti apabila besar kelak mereka tidak berupaya menjadi pemimpin yang baik apatah lagi untuk mengharungi liku-liku hidup yang lebih mencabar pada masa hadapan.


0 comments:

share2