Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 27, 2016

[KUANTAN] GALAS TUGAS SUAMI


Galas tugas suami


Seorang ibu beranak lima terpaksa berkorban mencari rezeki menanggung keluarga selepas suaminya mengalami masalah kesihatan dan tidak dapat melakukan kerja berat.

Zuraina Mohamad, 39, bekerja sebagai pekerja am di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kong Min di Beserah dengan pendapatan RM900 sebulan. Suaminya, Mohd Sharif Ali, 42, mengalami masalah di kedua-dua belah bahu.

“Keadaannya semakin membimbangkan sejak lima bulan lalu dan hanya berehat di rumah selain mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Bantuan Persekolahan oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim di Kampung Pantai Beserah, baru-baru ini.

Zuraina berkata, keadaan menjadi lebih sukar kerana tiga daripada lima anaknya masih bersekolah dan memerlukan kewangan untuk perbelanjaan seharian.

Lebih menyedihkan apabila anak bongsunya yang kini berusia empat tahun terpaksa diberikan kepada adik iparnya untuk dijaga.

“Kami mengambil keputusan bersama kerana tidak mampu membesarkannya dengan keadaan kewangan dan masalah kesihatan suami yang tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, bantuan kepada anaknya, Muhammad Khairil Ikram, 15, amat dihargai dan berharap akan menyuntik semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.


0 comments:

share2