Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 28, 2017

[KUANTAN] TIGA TERMASUK 2 ANGGOTA POLIS TERLIBAT SAMUN DIBERKAS


Tiga termasuk 2 anggota polis terlibat samun diberkas


Tiga penjenayah termasuk dua anggota polis yang terlibat dalam samun dan tembak seorang peniaga kedai runcit di Kampung Jaya Gading Sabtu lalu berjaya di berkas anggota polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, suspek sempat melakukan jenayah peras ugut tiga jam sebelum kejadian berkenaan dengan menahan seorang penunggang motosikal berhampiran sebuah premis di Jalan Wong Ah Jang di sini kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, suspek yang ditahan kesemuanya berusia 25 tahun dengan dua daripadanya anggota polis berpangkat koperal dan konstabel serta seorang lagi merupakan orang awam berjaya di berkas oleh pasukan polis di dua lokasi berbeza di daerah ini.

“Dua suspek berjaya ditangkap oleh anggota polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah Kuantan di sebuah premis di Indera Mahkota pada jam 11 pagi dan manakala seorang lagi ditahan di Taman Setali, 12 tengahari pada hari kejadian.

“Hasil tangkapan itu, pihak polis telah merampas sebuah kereta Perodua Axia warna kelabu; satu pasang gari, sembilan karton rokok seludup pelbagai jenis jenama dan sepucuk pistol jenis Revolver 38 Smith & Welson dua insi yang mengandungi empat butir peluru hidup.

“Turut dirampas, sebuah telefon bimbit jenama Iphone 6, sebutir kelongsong peluru jenis 38, sehelai jaket hitam jenama Feifan dan sehelai seluar jean jenama Guess,” katanya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini.

Sebelum itu, Rosli berkata, kejadian tembak dan samun di Kampung Jaya Gading itu, berlaku jam 5 pagi hari sama, di mana selepas kejadian di Jalan Wong Ah Jang, suspek kemudiannya ke rumah peniaga kedai runcit, kononnya mahu membeli 11 karton rokok.

Katanya, bagaimanapun berlaku pergelutan di antara seorang daripada suspek yang bekerja sebagai buruh ketika urus niaga berkenaan.

“Suspek kemudian mengeluarkan sepucuk pistol jenis Revolver dari beg pinggang sebelum melepaskan tembakan mengenai leher mangsa dan melarikan diri menaiki kereta yang di dalamnya ada dua anggota polis sedang menunggu.

“Anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mendapati mangsa sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampun Afzan (HTAA) dan soal siasat dengan isteri mangsa mendapatinya kenal dengan seorang daripada suspek iaitu orang awam yang biasa membeli rokok di premis berkenaan.

“Kita turut menemui kad pengenalan, lesen memandu dan sijil sakit milik seorang anggota polis, susulan penemuan itu kita berjaya mengesan dua suspek di Indera Mahkota kira-kira jam 11 pagi iaitu orang awam serta anggota polis bertugas di cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, hasil siasatan mendapati kad pengenalan, lesen memandu dan sijil sakit ditemui di lokasi kejadian bukan milik mana-mana suspek sebaliknya seorang anggota polis yang ada membuat laporan kehilangan mengenainya pada 23 November lalu.

“Anggota polis berkenaan mengenali dua anggota polis terbabit dalam kes berkenaan, berkemungkinan beg pinggangnya dicuri oleh suspek...pistol digunakan dalam kejadian adalah untuk penugasan anggota polis iaitu seorang daripada suspek,” katanya.

Rosli berkata, kesemua suspek direman mulai semalam sehingga 2 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, Rosli berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Jelasnya, suspek juga mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah iaitu Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya, namun tiada rekod dikehendaki.

Rosli, juga tidak menolak kemungkinan bahawa penangkapan tiga suspek tersebut secara tidak langsung dapat menyelesaikan kes rompakan dan peras ugut yang berlaku di daerah ini.


0 comments:

share2