Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 27, 2017

PAHANG WUJUD PEMANTAU MAAHAD TAHFIZ


Image result for mb pahang


Kerajaan negeri menubuhkan pasukan petugas melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi keselamatan bagi memantau tahap keselamatan dan keselesaan premis kira-kira 70 maahad tahfiz di negeri ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata ia inisiatif kerajaan negeri bagi mengelakkan kejadian seperti di Maahad Tahfiz Ittifaqiah di Taman Keramat berlaku di negeri ini.

“Kerajaan negeri memandang serius insiden seumpama itu dan telah meminta kerjasama PBT serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang bagi membuat pemantauan berkala ke premis tahfiz dan pondok.

“Satu Mesyuarat Penyelarasan Isu-isu Keselamatan Premis Bangunan Maahad Tahfiz dan Pondok-pondok Negeri Pahang diadakan 6 Oktober lalu, dianggotai beberapa agensi kerajaan seperti polis dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) bagi membincang serta menyelaras isu berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Seri Pahang hari ini bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail (BN-Pulau Tawar) mengenai tindakan kerajaan negeri bagi mengelak kejadian kebakaran di pondok tahfiz berlaku di negeri ini.

Adnan (BN-Pelangai) berkata selain itu, kesemua insitusi berkenaan juga perlu mempamerkan sijil atau perakuan pendaftaran serta keselamatan di premis masing-masing.

Selain itu, katanya satu program pemutihan juga akan dijalankan ke atas sekolah tahfiz dan pondok sama ada berdaftar atau tidak berdaftar bagi mengemas kini data dan maklumat terkini terutama berkaitan keselamatan bangunan.

“Data lengkap sedang dikemas kini akan diedarkan kepada semua PBT daerah untuk makluman dan tindakan sewajarnya,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

0 comments:

share2