Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 25, 2016

[KUANTAN] DIDENDA RM20,000 KERANA RASUAH RANGER HUTAN PAHANG


 Didenda RM20,000 kerana rasuah Ranger Hutan Pahang


Seorang pengusaha balak, dikenakan hukuman denda RM20,000 di Mahkamah Khas Rasuah atas tuduhan memberi suapan kepada Ranger Hutan Pahang sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas aktiviti mengeluarkan kayu balak secara tidak sah, di sini, hari ini.

Tertuduh Pee Hong Seng, 40, mengaku bersalah memberi suapan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada Ranjer Hutan, Unit Penguatkuasaan Pahang Barat, Rotan Tunggal Daerah Raub, Dahalan Yusof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan tersebut di Bilik 106, Hotel Inderapura Jerantut lebih kurang jam 6 petang, 22 Oktober tahun lalu.

Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan dan minimum RM10,000.

Ketika prosiding tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar hukumannya dikurangkan memandangkan masih mempunyai tanggungan isteri tidak bekerja dan tiga orang anak yang masih bersekolah.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Syafibas Shabudin memohon agar hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh kerana memberi suapan kepada pegawai kerajaan sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat umum.

Dengan itu, Hakim Habibah Mohamed Yusof menetapkan hukuman denda RM20,000, jika gagal membuat pembayaran akan dikenakan penjara lima bulan dan semua bahan kes dirampas serta dilucutkan hak dan dimasukkan ke dalam hasil kerajaan Malaysia.


0 comments:

share2