Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 25, 2016

‘IBU BANGGA TAK KALAU KAKAK MATI FISABILILLAH?'


‘Ibu bangga tak kalau kakak mati fisabilillah?’


Kuala Lumpur - "Ibu bangga tak kalau kakak mati fisabilillah?" demikian pertanyaan Allahyarham pelajar tahun tiga jurusan syariah, Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz,21 kepada ibunya sejak tahun pertama menuntut di Universiti Mu'tah, Jordan.

Kata-kata itu kini terngiang- ngiang di telinga ibunya, Rafidah Mat Rani,47, saat mengenang kembali bahawa anak sulungnya itu sudah tiada lagi dan kepulangannya kali ini tidak lagi bernyawa.

"Memang kami dah biasa berjauhan tetapi bila bersendirian saya sedar yang Fatin sudah kembali kepada penciptaNYA.

"Sebelum meninggal saya sebagai ibu dah rasa dia sedikit berubah tapi tak sangka itu pertemuan yang bertukar kenangan , kali terakhir pulang bercuti selama dua bulan pada Julai dan pulang semula ke Jordan September 2015," katanya ketika ditemui di Flat Sri Selangor,di sini.

Mengimbas memori bersama anak sulung daripada empat beradik itu, Rafidah berkata hubungannya dengan Fatin sangat rapat dan sering berkongsi cerita serta masalah.

"Semua perkara saya mengadu kepada Fatin sebab dia paling memahami berbanding adik- adik yang masih kecil.

"Fatin selalu beri saya kata- kata semangat dan motivasi, sekarang saya tak ada sapa lagi nak luahkan perasaan dan kongsi cerita. Kata- kata, telatah dan perwatakan Fatin tidak mungkin luput daripada ingatan saya sebagai ibu," katanya.

Menurut Rafidah, ketika kali pertama dimaklumkan bahawa Fatin meninggal dunia akibat kemalangan dia sedikit pun tidak menitiskan air mata kerana tahu ini impian Fatin iaitu mati syahid.

Tetapi naluri keibuan tidak dapat dibendung daripada sebak kerana anak sulung yang menjadi harapan keluarga kini sudah dijemput Ilahi hanya doa dan reda mengiringi.

Sementara itu, Rafidah meminta bantuan orang ramai mengesan ayah kandung Fatin, Che Aziz Che Mahmud, 50-an untuk memaklumkan kejadian ini kerana mereka telah lama tidak berhubung.

Kini jenazah ketiga- tiga pelajar Malaysia ditempatkan di Hospital Amman, Jordan dan menunggu urusan penerbangan untuk dibawa pulang ke tanah air.

Susulan itu, atas rasa prihatin Umno Wilayah Persekutuan dan Cheras sudi menghulur bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga Fatin.

Sumbangan berkenaan masing- masing dihulurkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Bagaimanapun kos keseluruhan urusan membawa pulang jenazah disumbangkan sebanyak RM18,000 oleh Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Selepas selesai urusan penerbangan, jenazah Fatin akan dikebumikan di Lenggong, Perak namun tarikh belum dapat dipastikan.

Terdahulu, tiga pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Mu'tah, Jordan, maut, manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan, 23 Januari.

Mereka yang terbunuh ialah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, Hana Azhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Safie, manakala yang cedera ialah Fatin Noor Syahirah Ramli dan Muhammad Izzam Hasif Anuwar.


0 comments:

share2