Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 10, 2018

[LIPIS] SEMAI CINTAKAN NEGARA DALAM KALANGAN GENERASI MUDA


Semai cintakan negara dalam kalangan generasi muda



Sistem pendidikan negara di sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu diperkukuhkan supaya dapat membentuk semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan generasi muda di negara ini.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, menerusi pendidikan tersebut, ia dapat menyedarkan golongan terbabit akan kepentingan institusi beraja dalam mempertahankan warisan dan institusi negara agar tidak terhakis.

"Raja-raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara, kewujudan institusi raja menjadi asas jati diri bangsa dan identiti negara.

"Namun hari ini, anak muda membesar dengan perhiasan kecanggihan teknologi dan kederasan arus pemodenan, kita lalai dan leka dengan pelbagai idea dan fahaman yang boleh memesongkan agama dan identiti negara," titah baginda dalam ucapan pada program Wacana Diraja "Raja, Perlembagaan dan Patriotisme" di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Pahang, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

Sementara itu, baginda turut menjelaskan raja perlembagaan dan patriotisme adalah elemen yang membentuk negara.

"Dan kesatuan elemen-elemen ini menjadi tunjang kekuatan negara. Memahami sejarah dan apa yang tersurat serta tersirat dalam perlembagaan sangat penting bagi membentuk semangat patriotisme dan cintakan negara," titahnya lagi.

Sementara itu,Tengku Abdullah juga berharap wacana itu tidak menjadi platform politik tetapi menjadi platform yang boleh berkongsi fikiran bagi semua kaum dan peringkat umur.

Seramai 458 peserta melibatkan pelbagai lapisan masyarakat menyertai wacana tersebut yang juga lanjutan selepas kali pertama dijalankan di Kuantan pada Februari lalu.

Menampilkan lapan panel antaranya pakar perlembagaan, profesor Madya Dr Shamarahayu Aziz, Ketua Penerangan Pemuda Umno, Mohd Shahar Abdullah, Adun Ketari,Young Shefura Othman dan Felo Perdana Kementerian Kesihatan,Rul Iman Nur Rahizab mengupas isu berkaitan dengan tajuk wacana tersebut.


0 comments:

share2