Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 11, 2015

PEMIMPIN PAS SERING CAKAP BERBELIT - LIM GUAN ENG




BAYANGKANLAH jika kenyataan ini keluar dari mulut tokoh UMNO tidak kira ketika mesyuarat Majlis Tertinggi atau Perhimpunan Agung UMNO; layanan diterima pasti adalah berbeza khasnya dari pemimpin Pas sendiri.

Malangnya ayat ini datang dari sekutu mereka sendiri, Lim Guan Eng, setiausaha agung DAP yang belum disahkan jawatan oleh Pendaftar Pertubuhan sehingga kini; dan ‘Yang Amat Berhormat’ Ketua Menteri Pulau Pinang.

Di Pulau Mutiara sendiri, sejak pilihan raya umum 2013, beliau disanjung bagai negarawan oleh pemimpin dan penyokong Pas malah diberi gelaran Khalifah Umar Abdul Aziz dari zaman kegemilangan Bani Umayyah dahulu.

Segala cakap Guan Eng dipandang penuh hormat dan serangan jentera saraf maya UMNO akan dibalas hebat seolah-olah beliau setaraf ulama dan sehebat bekas Mursyidul Am Pas, allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Ironi, sekali lagi dimaklumkan ayat ‘Pemimpin Pas sering cakap berbelit-belit’ bukan rekaan UMNO tetapi lahir secara ‘ikhlas’ dan spontan dari lidah Guan Eng ketika ditemui ramai pemberita di ruang lobi Parlimen pada Rabu.





Ahli Parlimen Bagan itu diminta mengulas dakwaan beberapa pemimpin Pas bahawa punca kemelut perpecahan dalam Pakatan Rakyat (yang belum didaftarkan lagi dengan Pendaftar Pertubuhan) adalah daripada DAP sendiri.

Barang kali terkejut dengan tuduhan itu, beliau selamba memulangkan balik ‘paku keras’ kepada parti sekutunya itu dengan menuduh: “Mereka sering cakap berbelit. Dia cakap ada siku dan lutut. Mana siku dan lutut Pas?”

“Ikut proses biasa, jika nak buat perubahan mesti melalui muktamar. Jadi sekarang mereka kena hormat parti sendiri. Ini parti sendiri pun tak hormat. Saya pun tak faham. Macam mana kita boleh ada kerjasama,” tegasnya.

Seperti juga bapanya, Lim Kit Siang yang dulunya Setiausaha Agung dan kini Penasihat DAP, Guan Eng tanpa rasa malu mendakwa Pas sebenarnya pembunuh Pakatan Rakyat apabila calon ulama menguasai kepimpinan parti itu.

“Mereka boleh buat apa-apa tuduhan. Yang penting siapa yang bunuh Pakatan? Siapa yang mulakan proses ini dengan memutuskan hubungan dengan parti DAP? Saya rasa itu adalah hakikat yang kena diterima Pas,” ujarnya.




Pada muktamar tahunan yang berlangsung di Kuala Selangor, Selangor minggu lalu, Dewan Ulama Pas membawa usul memutuskan hubungan dengan DAP, namun ia tidak dibahaskan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.

Usul diluluskan secara misteri itu menyebabkan kumpulan Anwarinas yang cenderung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘tewas’ teruk ketika pemilihan parti kepada kelompok ulama yang diketahui ‘tidak mesra’ Pakatan Rakyat.

Ia sebagai tindak balas campur tangan DAP secara terang-terangan menghasut perwakilan ‘buang’ Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang termasuk semua calon ulama yang memang tidak sefahaman ‘kepala’ dengan DAP.

Anehnya, usul kontroversi itu mencetuskan pertikaian ramai perwakilan semasa sesi perbahasan, malah meragui konsep kerjasama politik atau disebut tahaluf siyasi antara Pas dengan DAP tetapi masih lagi ‘setia’ dalam Pakatan.

Bertambah celaru apabila Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berdalih, usul itu hanya dibincangkan di peringkat kepimpinan Pakatan kerana bimbang kedudukan parti itu akan terjejas di Pulau Pinang dan Selangor.





Mana satu betul? Ketika ada pemimpin menyifatkan keputusan muktamar adalah muktamad sebagai dasar parti, ada juga menganggap ia belum rasmi dan tidak wajar letak jawatan dalam agensi kerajaan di dua negeri tersebut.

Bertambah lucu apabila bekas timbalan presiden Pas, Mohamad Sabu pada ucapan penggulungan muktamar dan mengumumkan peletakan jawatan dalam agensi di Pulau Pinang turut mencabar penyandang lain pun ikut sama.

Tidak kira sama itu tindakan tergopoh-gapah atau menjaga maruah, kemelut tahaluf siyasi kini menjadi ‘bahan lawak’ oleh ramai pemimpin Pas dan lebih teruk dipersendakan pula oleh DAP sebagai hangat-hangat tahi ayam.

Memetik kata-kata Guan Eng: “Selagi Pas belum arahkan wakil-wakil untuk meletak jawatan, maka saya rasa mereka sekarang hanya ‘main-main’ saja. Saya harap kepimpinan baharu Pas masih ada lagi harga maruah diri.”

Pun begitu, bagi penganalisis politik ancaman Pas ‘bercerai’ dengan DAP sekadar ugutan biasa dan bukan luar biasa Pas boleh tiba-tiba U-turn macam tiada apa-apa berlaku jika kepentingan mereka terjejas.



0 comments:

share2