Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 27, 2014

PRK BUKIT GELUGOR: CALON PCM FAIL PETISYEN


Georgetown - Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan akan memfailkan petisyen berhubung keputusan PRK Parlimen Bukit Gelugor atas dakwaan wujud salah laku DAP semasa hari pengundian Ahad lepas.

Cheng Guan yang juga calon PRK itu mendakwa mempunyai bukti bergambar serta klip video menunjukkan ejen DAP berkumpul serta mendirikan khemah di kawasan kurang 50 meter dari sempadan pusat mengundi.

"Ini bertentangan dengan peraturan pilihan raya. Sebaik sahaja keputusan pilihan raya digazet saya akan kemukakan semua bukti yang saya ada," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut mendakwa terdapat sebuah khemah didirikan di Kampung Kastam oleh penyokong DAP menggunakan logo Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan boleh mengelirukan orang ramai, tetapi lambang itu diturunkan setelah aduan dibuat.

Cheng Guan turut mendakwa kehadiran lebih 1,000 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di beberapa pusat mengundi sebagai tidak perlu dan hanya bertujuan memancing undi memandangkan polis sudah menempatkan anggota yang mencukupi bagi mengawal keselamatan.

Cheng Guan berkata, dua laporan telah dibuat kepada polis dan pejabat SPR semalam berhubung perkara itu.

Terdahulu Cheng Guan melawat pasar Air Itam untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengundi beliau dan menyampaikan penghargaan kepada media serta semua pihak yang menyokong kempennya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ramkarpal Sing Deo kerana berjaya mempertahankan kerusi parlimen itu untuk DAP.

Pada pilihan raya kecil itu, Ramkarpal, 38, yang merupakan anak ketiga mendiang Karpal Singh, menang dengan majoriti 37,659 undi. 

Beliau memperoleh 41,242 undi menewaskan Cheng Guan yang mendapat 3,583 undi serta dua calon Bebas iaitu Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar (799 undi) dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan (225 undi).

0 comments:

share2