Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 5, 2019

KERAJAAN PERSEKUTUAN SETUJU BINA LAPANGAN TERBANG BAHARU DI TIOMAN





PANTAI AIR LELEH, KUALA PAHANG, PEKAN – Kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah bersetuju bagi pembinaan Lapangan Terbang Baharu Tioman, kata Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.


“Kabinet dah setuju, Kerajaan Negeri juga dah setuju. Sekarang ini, kerja-kerja awalanlah – (urusan berkaitan) tanah dan sebagainya… Laporan EIA (sepertimana) apa yang dikehendaki (perlu disediakan).


“Yang penting sekarang ini, Kabinet (Kerajaan Persekutuan) telah bersetuju. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju. Kos, belum lagi dimuktamadkan. Yang akan bina ialah ‘private sector’,” katanya.


Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan wartawan tentang Lapangan Terbang Baharu Tioman itu pada persidangan media sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri pagi Isnin, 4 November di sini.


Menurut sumber-sumber, empat (4) syor dikemukakan sebagai tapak pembinaan Lapangan Terbang Baharu Tioman ini tetapi akhirnya, syor kedua menjadi pilihan iaitu di Kampung Paya sepertimana dicadangkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).


Di Kampung Paya ini, ia tidak melibatkan penempatan penduduk, tidak sepertimana syor pertama di Kampung Genting – selain melibatkan kampung-kampung lalu menjejaskan kehidupan seharian mereka, syor pertama ini juga melibatkan kaedah tambak laut yang boleh menjejaskan ekosistem marin sedia ada.


Dua syor lagi ialah syor ketiga dengan menambah baik lapangan terbang sedia ada di Kampung Tekek, manakala syor keempat ialah dengan menambah baik landasan kapal terbang sedia ada di Kampung Lanjut yang terletak di tanah besar berhampiran Kuala Rompin.


Lapangan Terbang Baharu Tioman di Kampung Paya ini kelak, cadangan landasan kapal terbang yang telah diluluskan pada tahun 2004 lagi ialah 1.8 KM panjang dan 48 meter lebar.



Bagaimanapun, bagi cadangan untuk membolehkan pesawat jenis Boeing 737 atau Airbus A320 berkapasiti antara 180 dan 200 penumpang mendarat di Lapangan Terbang Baharu Tioman ini, tambahan panjang lagi 700 meter menjadikan keseluruhan 2.5 KM, diperlukan.


SUMBER : kHABAR PAHANG

0 comments:

share2