Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 18, 2019

[KUANTAN] 240 PELAJAR SERTAI PROGRAM SKOR A MATEMATIK, BAHASA INGGERIS SPM







Seramai 240 pelajar dari empat buah sekolah di sekitar daerah ini mengikuti Program Skor A Matematik dan Bahasa Inggeris sebagai persediaan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 anjuran Pahang Skills di sini semalam.

Pengerusi Pahang Skills, Datuk Mas’ut Awang Samah berkata, program julung kali diadakan tersebut mendapat kerjasama Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) dan Jabatan Pendidikan negeri.

Katanya, program tersebut bertujuan membantu pelajar -pelajar mencapai kejayaan lebih baik dalam subjek berkenaan khususnya daripada keluarga golongan berpendapatan rendah (B40).

“Sebagai sebuah pusat latihan pendidikan dan latihan kemahiran, kami sentiasa terbuka untuk membantu serta melatih golongan muda berjaya seterusnya mencapai cita-cita mereka.

“ Program khidmat komuniti ini juga sedikit sebanyak membantu mutu pendidikan pelajar-pelajar terutama calon SPM melonjakkan nama sekolah dan diri mereka,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri menyokong penuh usaha syarikat korporat dan agensi kerajaan dalam menjayakan wawasan pendidikan anak-anak khususnya yang bakal menduduki peperiksaan besar.

“ Saya menaruh harapan tinggi semoga usaha ini berjaya dan tidak terhenti di sini sahaja.

“Diharap lebih banyak program seumpama ini diadakan untuk jaminan masa depan anak-anak yang lebih cemerlang,” katanya.


0 comments:

share2